Kementerian Kewangan memutuskan untuk tidak melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis parlimen semalam.
Jelasnya, keputusan itu dibuat memandangkan semakan cukai jualan dan perkhidmatan yang diperluaskan kepada antara lima hingga 10 peratus telah mengambil kira barangan mewah.
"Kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan cukai bernilai tinggi atau High Value Goods Tax, tetapi prinsip bagi pengenaan HVGT tersebut telah diterapkan dalam kajian semula cukai jualan yang mana barang mewah dan pilihan dikenakan cukai pada kadar 5% atau 10%," katanya.
Anwar menambah bahawa peluasan SST akan menjana pendapatan RM5 bilion tahun ini, dengan angka itu meningkat dua kali ganda kepada RM10 bilion pada 2026.
Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Shamsulkahar Deli (BN-Jempol) berhubung unjuran penambahan pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal termasuk HVGT, cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai barang bernilai rendah (LVG) serta peluasan cukai SST dan rasionalisasi subsidi yang sedang dan bakal dilaksanakan.
Perdana menteri turut menjelaskan hasil yang diperoleh daripada cukai LVG, yang berkuat kuasa tahun lalu, sudah pun mencatatkan hasil sebanyak RM500 juta pada 2024, dan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital, yang dilaksanakan sejak 2020, mencatatkan pendapatan RM1.6 bilion pada 2024.
Dia juga menyatakan bahawa CGT, yang diperkenalkan pada Mac 2024, dijangka membawa hasil sebanyak RM800 juta setiap tahun.
Pada penghujung 2023, Anwar mengumumkan HVGT dalam ucapan Belanjawan 2024, dengan jangkaan tarikh pelaksanaan pada 1 Mei 2024.
Bagaimanapun, pada Mac tahun lepas, Bernama melaporkan bahawa kerajaan masih berhubung dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memuktamadkan butiran berkaitan.
Anwar menjelaskan bahawa kelewatan itu adalah untuk menyediakan lebih banyak masa untuk memperhalusi dasar dan perundangan berkaitan, memastikan pelaksanaannya teratur, cekap, dan sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.
Kelewatan itu juga telah dikritik oleh wakil daripada Muda, yang mempersoalkan mengapa kerajaan cepat melaksanakan cukai ke atas rakyat biasa, tetapi teragak-agak untuk menguatkuasakan cukai mewah untuk golongan kaya.
