Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Perintah mandamus buka jalan keluarga mangsa saman polis, k'jaan'
Diterbitkan:  Jul 30, 2025 11:35 AM
Dikemaskini: 5:25 AM

Perintah mandamus Mahkamah Tinggi dalam kes Ivana Smit kini akan membuka jalan kepada keluarga mangsa tembak oleh polis dan mangsa kematian tahanan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan polis, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Lim yang juga seorang peguam berkata, perintah mandamus ini mesti dijadikan piawaian tetap dalam semua kes jenayah berat, terutamanya kes pembunuhan dan kematian dalam tahanan .

Lim Lip Eng

“Polis tidak boleh terus bersembunyi di sebalik seragam dan prosedur lapuk. Institusi ini perlu dibersihkan dan dibina semula dari dalam.

“Selagi budaya melindungi kesalahan dan menutup kebenaran diteruskan, selagi itulah kepercayaan rakyat akan terus hancur dan keadilan tidak akan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia turut menyeru Ketua Polis Negara (KPN) Mohd Khalid Ismail, mengambil tindakan tatatertib segera terhadap pegawai penyiasat dan pegawai kanan yang gagal menjalankan tugas.

Lim menegaskan bahawa tiada ruang untuk melindungi pegawai cuai yang mencemarkan nama baik PDRM, dan mengkhianati kepercayaan orang ramai.

“Perintah mandamus ini mesti dijadikan piawaian tetap dalam semua kes jenayah berat, terutamanya kes pembunuhan dan kematian dalam tahanan.

“Sudah tiba masanya budaya siasatan separuh jalan dan laporan sambil lewa dihentikan.

“Tiada ruang untuk melindungi pegawai cuai yang mencemarkan nama PDRM dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, kes kematian model Belanda itu, pemimpin DAP tersebut berkata, siasatan ditutup terlalu awal dengan bukti penting tidak dipelihara, manakala tempat kejadian diurus dengan cuai.

“Suspek utama dibiar pergi tanpa tindakan, saksi utama langsung tidak dipanggil, dan cadangan menggunakan pakar bebas dan ujian DNA pula ditolak tanpa alasan munasabah.

“Ini bukan sekadar kecuaian biasa, tetapi satu kegagalan sistemik terhadap keadilan,” katanya lagi.

Semalam, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan bayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu model warga Belanda Ivana Esther Robert Smit, yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lalu.

Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan atas dakwaan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan berhubung punca kematian anak perempuannya.

Dalam penghakimannya, Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk (RM300,000) dan ganti rugi teladan (RM300,000).

Hakim turut memerintah defendan membayar kos berjumlah RM100,000 kepada plaintif.

Roz Mawar turut mengarahkan Ketua Polis Negara (defendan pertama) supaya menggugurkan Faizal (defendan kedua) daripada pasukan petugas semasa dan memerintahkan PDRM untuk memulakan kembali siasatan berhubung kematian Ivana Smit seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 2019.

“PDRM diarah memberi taklimat perkembangan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bermula tarikh penghakiman ini manakala AGC perlu mementukan sama ada bukti dikumpul mencukupi serta menetapkan tindakan lanjut yang perlu diambil,” katanya.

Pada 7 Dis 2017, mayat Smit ditemui di balkoni unit tingkat enam CapSquare Residence di Kuala Lumpur, 14 tingkat di bawah unit tingkat 20 pasangan asing, Alex Johnson dan isterinya Luna Almaz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS