Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waytha kutuk tangkapan kerana sebat patung Anwar
Diterbitkan:  Jul 30, 2025 1:05 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Menyebat patung Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin menyinggung perasaan, tetapi itu bukan kesalahan yang membenarkan penangkapan, tegas Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waythamoorthy.  

Dia mengutuk tindakan keras pihak berkuasa dengan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa negara yang keterlaluan – mengenakan tuduhan menghasut bagi menekan suara politik yang provokatif namun aman.  

Waythamoorthy turut menggambarkan insiden itu sebagai serangan langsung terhadap kebebasan bersuara yang sering dilaung-laungkan oleh Anwar.  

"Apa mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat? Bahawa kritikan terhadap perdana menteri akan dijawab bukan dengan dialog, tetapi dengan ketukan pintu polis di pintu rumah anda?" tambahnya.  

Pada Isnin, pemimpin akar umbi Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard ditangkap bawah Akta Hasutan 1948 berikutan aksi menyebat patung Anwar dalam demonstrasi anti-Anwar, Sabtu lalu.

‘Sebab patung sebab tak dapat sebat Anwar’

Selepas dibebaskan, Badrul memberitahu pemberita bahawa polis menyoal kena dia berbuat demikian.

“Saya jawab kenapa saya sebat patung Anwar, sebab saya tak dapat sebat Anwar terus. 

“Kalau saya dapat terus sebat Anwar, jadi saya tak sebat patung Anwar,” katanya.

Sebelum ditangkap, Badrul mendedahkan siasatan ke atasnya melibatkan:  

  • Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (kecenderungan menghasut) 

  • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyalahgunaan kemudahan rangkaian)  

  • Seksyen 504 Kanun Keseksaan (penghinaan berniat provokasi)  

  • Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (kata-kata/tingkah laku lucah/mengancam)  

Waythamoorthy mendakwa penangkapan itu contoh terbaru penggunaan polis sebagai alat gangguan oleh pentadbiran Anwar:  

"Penggunaan undang-undang penjajah seperti Akta Hasutan dan Seksyen 504 untuk menekan protes aman bukan saja ketinggalan zaman, malah berbahaya. 

P Waythamoorthy

“Ia mendedahkan hipokrasi kerajaan yang bercakap soal demokrasi tetapi bertindak sebaliknya ketika dicabar."  

"Jika kerajaan benar-benar menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara, mengapa peserta protes aman diburu dan ditangkap selepas beberapa hari? Kontradiksi ini mendedahkan agenda reformasi palsu pentadbiran ini," tegasnya.  

Waythamoorthy menyokong gesaan Amnesty International Malaysia untuk memansuhkan undang-undang yang menjenayahkan luahan suara secara aman serta memastikan penguatkuasa telus dalam melindungi hak rakyat  

"Kerajaan ini dipilih atas janji reformasi. Namun, yang kita saksikan ialah kemunduran: ketakutan mengatasi kebebasan, kuasa mengatasi prinsip. Rakyat tidak boleh dan tidak akan dibungkam. Bantahan bukan jenayah," tegasnya.  

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS