Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tishant dibunuh: Komuniti India digesa perkukuh sokongan kesihatan mental, keibubapaan
Diterbitkan:  Jul 30, 2025 8:43 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Komuniti India perlu memastikan akses kepada alat serta pengetahuan keibubapaan, sokongan kesihatan mental dan ikatan komuniti yang kukuh, kata Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy.

Mengulas mengenai kematian M Tishant, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang didakwa dicekik hingga mati oleh bapanya sendiri, dia menyeru agar pendidikan dan sokongan kepada ibu bapa diperkukuh, sambil menegaskan keibubapaan yang baik sesuatu yang perlu dipelajari dan bukan diwarisi.

"Cabaran kehidupan moden, tekanan ekonomi, kekangan masa, dan kekurangan sokongan komuniti menjadikan lebih penting untuk kita melengkapi ibu bapa dengan alat bagi membesarkan dan melindungi anak-anak mereka," tegas Sivamalar.

Terdahulu hari ini, The Star melaporkan ibu kepada Tishant telah cuba membunuh diri akibat tekanan emosi susulan kematian anaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail mengesahkan perkara itu, sambil memaklumkan ibu berkenaan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Dia juga berkata keluarga tersebut telah menolak bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Semalam, New Straits Times memetik kenyataan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bapa saudara Tishant, menyatakan ibu mangsa tidak makan dan menangis tanpa henti sejak hari kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Mengulas lanjut, Sivamalar menggesa agar stigma terhadap perkhidmatan sokongan kesihatan mental dihentikan.

"Kaunseling bukan tanda kegagalan; ia adalah tanda keberanian. Ia membantu individu dan keluarga mengenal pasti punca utama, mengatasi trauma, dan mencari penyelesaian sebelum situasi menjadi parah," katanya.

Dia turut menyentuh perubahan struktur keluarga daripada isi rumah berbilang generasi kepada keluarga kecil sebagai antara faktor yang menyumbang kepada insiden sebegini, kerana menurutnya kehadiran ahli keluarga tambahan boleh menyediakan rangkaian sokongan emosi dan sosial.

Sivamalar juga menekankan keperluan untuk melengkapi ibu bapa dengan kemahiran literasi kewangan bagi mengurangkan tekanan kewangan dalam rumah tangga.

Dia turut menggesa komuniti India agar menolak pemikiran patriarki demi memupuk budaya keibubapaan yang baik, dengan memastikan anak lelaki turut dididik dengan kemahiran kecerdasan emosi dan rasa tanggungjawab.

Kronologi tragis

Tishant dilaporkan hilang pada 24 Julai di Iskandar Puteri, Johor. Bapanya yang berusia 36 tahun telah membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang berhampiran sebuah kedai kopi di Taman Bukit Indah.

Empat hari kemudian, pada 28 Julai, mayat Tishant ditemui dengan kesan dicekik menggunakan pengikat kabel. Mayatnya ditemukan di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.

Bapa mangsa ditahan pada 24 Julai — hari sama laporan kehilangan dibuat.

Dia kini direman selama tujuh hari bermula 25 Julai, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

[Baca berita asal]


Jika anda berasa tertekan atau ada kecenderungan bunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan itu, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih
Talian utama: 15999

The Befrienders
Talian
utama: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia
Talian utama: 03-77855955 atau 03-77810800

Persatuan Talian Hidup Malaysia
Talian
utama: 03-42657995


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS