Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menggesa pihak polis agar berhenti menggunakan undang-undang zalim kepada pihak yang mengkritik kerajaan.
Gesaan itu dibuat setelah polis memulakan siasatan terhadap sejumlah peserta himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur pada minggu lalu, atas dakwaan melanggar undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948.
“Saya menuntut supaya pihak polis jangan terikut-ikut. Bagi saya (tindakan seumpama itu) dihentikan.
“Bukan setakat kali ini tetapi ke depan, jangan guna lagi akta seperti ini yang dianggap zalim, drakonian.
“Kalau ada apa-apa perkara (atau isu), boleh diberikan nasihat dan pandangan supaya pihak yang terlibat itu tidaklah diambil tindakan yang membawa mudarat, bukan saja kepada individu, tetapi juga sistem perundangan negara kita,” kata Muhyiddin dalam video yang dikonsikan di media sosialnya, malam tadi.
Dia juga membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana tidak mengotakan janjinya untuk memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim seperti Akta Hasutan.

“Bila berlaku peristiwa sekarang ini, bagi saya adalah tindakan yang bukan saja zalim, tetapi bawa kesan buruk.
“Ia menunjukkan janji yang mereka (parti pemerintah) buat, tidak ditunaikan.
“Janji nak dihapuskan (undang-undang zalim) tapi digunakan,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.
Himpunan Turun Anwar diadakan bagi menuntut peletakan jawatan Anwar atas pelbagai isu, khususnya berkaitan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut anggaran Malaysiakini berdasarkan tinjauan di lokasi, sekitar 25,000 orang menyertai himpunan itu. Polis pula menganggarkan kehadiran sekitar 18,000 orang, manakala penganjur mendakwa seramai 500,000 orang yang menyertainya.
Susulan himpunan tersebut, beberapa individu telah ditahan polis, termasuk pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin, Setiausaha Kerja Armada Bersatu Perak Furqan Hakimi dan ahli Bersatu Syafiq Aziz.
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya sedang menyiasat insiden yang berlaku ketika himpunan, di mana beberapa individu dilihat memukul patung yang menyerupai Anwar dengan rotan.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
