Ketika MIC dan DAP bertelagah secara terbuka, kini muncul Gerakan yang memasuki gelanggang yang nampaknya bersedia terlibat salam dalam pertikaian tersebut.
Timbalan Ketua Gerakan Perak, Naran Singh, memilih untuk menyokong MIC – yang pernah menjadi sekutu mereka dalam BN – sekali gus memberikan tamparan pedih kepada Adun Buntong, M Thulsi.
“Satu-satunya sebab dia (Thulsi) bertanding di kerusi dengan kadar pengundi India tertinggi (di Buntong) ialah kerana bapanya,” kata Naran merujuk kepada bekas Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran.
“Apa yang sebenarnya telah dia lakukan untuk masyarakat India di Buntong?” kata Naran lagi dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
Dia kemudian menyenaraikan “kelemahan” Thulsi sebagai Adun DAP di Perak – daripada mengabaikan isu lama dihadapi peniaga kacang putih sehinggalah kegagalan menyelesaikan masalah tanah yang melibatkan kuil Hindu berusia ratusan tahun di kawasan berkenaan.
"Sebelum membuat kenyataan hebat di peringkat kebangsaan, dia harus fokus untuk berkhidmat kepada orang yang meletakkannya di sana.
“Siapa dia untuk menyuruh MIC meninggalkan kerajaan?” kata Naran lagi.
Thulsi sebelum ini mencadangkan MIC keluar dari kerajaan Madani jika berasakan kehadiran mereka seperti "tetamu tidak diundang" seperti didakwa timbalan presiden parti itu, M Saravanan.
Naran juga menganggap Thulsi tidak cukup berani dalam menyatakan pandangan terhadap MIC. Justeru dia mencabar Adun DAP itu berdepan dengan pemimpin parti terbabit dan bertanya tentang pelbagai janji kepada masyarakat India yang didakwanya gagal ditunaikan.
"Pemimpin India DAP, termasuk bapa Thulsi, pernah menjaja pelbagai janji manis. Tetapi apa yang berubah sejak DAP mengambil alih kuasa? Tiada apa-apa. Status quo.
“Malah, mereka yang dahulunya lantang dan berapi-api kini hilang suara,” tambahnya.
Kenyataan Thulsi sebelum ini telah mencetuskan serangan balas daripada Ketua Pemuda MIC, K Arvind, yang menuduh DAP tidak mempunyai kuasa moral untuk mengkritik orang lain apabila ia gagal memenuhi ikrarnya sendiri.
Dia juga mempersoalkan sikap berdiam diri DAP berhubung keputusan pihak berkuasa tidak mendakwa personaliti kontroversi, Zamri Vinoth, kerana memperkecilkan agama Hindu ketika Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran, merupakan timbalan menteri undang-undang.
