Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KL, Dhaka setuju henti siasatan sindiket eksploitasi pekerja asing?

Bangladesh bersetuju menghentikan siasatan berhubung dakwaan sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia, kata sumber pegawai tinggi kerajaan Bangladesh.

Bercakap dengan Malaysiakini, sumber mendakwa keputusan itu dicapai dalam pertemuan antara wakil kerajaan Bangladesh dan pegawai Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Kuala Lumpur, dua minggu lepas.

Wakil daripada pihak Bangladesh antaranya melibatkan duta khas dan pembantu khas kepada ketua penasihat kerajaan Bangladesh.

"Dalam pertemuan itu wakil kerajaan Bangladesh itu bersetuju untuk menghentikan siasatan agar kedua-dua kerajaan boleh meneruskan kerjasama dalam membawa masuk semula pekerja asing Bangladesh ke Malaysia," kata sumber itu.

Perkara sama turut dikongsikan oleh beberapa pegawai Kesuma.

Bagaimanapun jurucakap rasmi Kesuma menafikan perkara tersebut.

"Tiada pertemuan sebegitu berlaku dua minggu lepas," kata dalam mesej ringkas kepada Malaysiakini serta enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Malaysiakini diberitahu bahawa pertemuan itu diadakan susulan surat kerajaan Malaysia kepada Bangladesh meminta untuk menghentikan siasatan terhadap dakwaan-dakwaan yang dianggap sebagai tidak berasas.

Surat itu dikatakan bertarikh 23 April 2025 daripada pegawai kanan Kesuma kepada pegawai kanan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh.

Dalam surat itu, Kesuma meminta Bangladesh menangani isu sindiket yang mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia semasa fasa 2022-2024 untuk memastikan proses pengambilan pekerja yang lancar dan boleh dipercayai.

Surat itu juga menyebut bahawa sebahagian besar dakwaan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram tidak berasas dan menjejaskan reputasi Malaysia.

"Di samping itu, kami meminta untuk menghentikan penyiasatan semula kes yang digugurkan sebelum ini melalui mekanisme formal.

"Ini adalah untuk memastikan bahawa kami akan memelihara dan meningkatkan Kedudukan Pemerdagangan Orang (TIP) dengan menunjukkan komitmen berterusan terhadap perekrutan beretika," menurut surat dalam bahasa Inggeris itu.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai kanan Kesuma yang mengutuskan surat itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

Bangladesh tahan bekas menteri

Pada 21 Okt 2024, polis Bangladesh menahan seorang bekas menteri negara itu yang terkait dalam siasatan berskala besar melibatkan agensi tenaga kerja yang menghantar pekerja ke Malaysia.

Menurut media Bangladesh The Business Standard, Imran Ahmed, bekas menteri yang bertanggungjawab dalam soal pekerjaan di luar negara dan kebajikan mereka, ditahan oleh polis Dhaka.

Timbalan Komisioner Polis Tambahan Dhaka Obaidur Rahman mengesahkan penahanan Imran namun sebab sebenar penahanannya tidak didedahkan.

Pada September lalu, media sama melaporkan bahawa pemilik sebuah agensi pekerja membuat laporan polis ke atas 103 individu, termasuk Imran, atas dakwaan terlibat dalam sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.

Laporan polis itu merujuk dakwaan penyelewengan dan pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan proses penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia, menerusi agensi yang dipilih melalui memorandum persefahaman (MOU) antara dua negara yang ditandatangani pada 19 Disember 2021.

Lebih 480,000 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia antara 2022-24 melalui agensi yang dilesenkan oleh kedua-dua kerajaan.

Beberapa NGO tempatan dan Bangladesh, mendakwa meski telah dijanjikan pekerjaan, terdapat pekerja yang terkandas di Malaysia tanpa pekerjaan, dibelenggu hutang dan hidup dalam risiko ditangkap.

Ramai yang terperangkap dengan jaminan palsu setelah membayar sehingga RM25,000 yuran pengambilan, selalunya melalui hutang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS