Sejak 1998, kita mengharungi enam pilihan raya umum (PRU) iaitu pada 1999, 2004, 2008, 2013, 2018 dan 2022. Dari enam PRU ini, tak sekalipun Anwar Ibrahim yang memimpin Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan menang secara en bloc.
Kemenangan 2018 adalah kerana adanya Mahathir Mohamad dan Bersatu yang dikatakan sebagai “mencukupkan yang sejengkal” - membolehkan lebih 25 peratus pengundi Melayu membuang Umno dan memilih Bersatu.
Begitu juga pada PRU15, PH hanya menang 82 kerusi dan tidak mampu menubuhkan kerajaan setelah hampir seminggu keputusan diumumkan. Selama seminggu Malaysia tidak mempunyai kerajaan. Tetapi akhirnya, Anwar dan PH berjaya menjadi kerajaan kerana kompromi beberapa blok politik, antaranya Umno.
Jika Bersatu masih mengurus politik dengan semangat 2022, jangan terkejut jika keputusan PRU16 melemparkan kita ke tepi sejarah.
Saya pernah menulis - sudah tiba masanya Muhyiddin Yassin berperanan sebagai ‘mursyidul am’ Bersatu.
Pandangan itu bukan untuk menolak jasa beliau — malah sebagai presiden pengasas parti, dia adalah tokoh yang saya hormati kerana jasanya membantu negara keluar daripada kekacauan politik pasca-Langkah Sheraton dan gawat pandemik Covid-19.
Mengangkat Muhyiddin sebagai ‘mursyidul am’ Bersatu adalah suatu pengiktirafan, malah dalam Bersatu sendiri, Mahathir Mohamad pernah diangkat sebagai pengerusi. Justeru di situlah tingkat yang wajar meletakkan presiden pengasas dalam hierarki parti tanpa mencacatkan status beliau sebagai mantan PM.
Namun, sebagai parti politik yang bercita-cita untuk memimpin semula negara, kita mesti lebih berani daripada sekadar berkempen dalam bayang-bayang kejayaan dan nostalgia lalu.
Pada PRU14 lalu, Muhyiddin diberi mandat penuh memimpin PN, tetapi sepertimana PH, PN gagal memperoleh majoriti untuk menubuhkan kerajaan sungguhpun jarak masa antara PRU14 (2022) dengan kejayaan mengatasi pandemik Covid-19 (2020) hanya selang setahun. Rakyat dah tak ingat memori kejayaan tersebut, inikan pula hari ini selepas PRU15.
Jika kita lihat karakter Mahathir berkempen, beliau tidak pernah sekalipun menjual kejayaan nostalgia beliau membina pelbagai mercu tanda negara. Tidak ada, kecuali keliling beliau yang mengingatkan rakyat akan jasa Mahathir.
Menjual nostalgia
Kalau kita lihat Anwar, beliau juga tidak menggunakan kempen kejayaan lalu dengan nostalgia lampau sebaliknya beliau ‘menjual’ harapan dan janji masa depan - sekalipun selepas itu, janji-janjinya dicapatikan. Pokoknya - Mahathir dan Anwar tidak menjual nostalgia mereka.
Justeru, jika Bersatu mahu memimpin PN menuju ke depan, satu gagasan perlu dibina melangkaui memori indah yang telah berlalu menjadi tukun.
Inilah proses perubahan yang diperlukan dalam suasana rakyat (pengundi) yang begitu pantas dan kritis menilai setiap gerak geri pemimpin dan parti politik.
Bersatu hari ini tidak kekurangan ahli atau pemimpin, tetapi kekurangan arah. Bersatu tidak ketandusan tokoh, tetapi sempit ruang demokrasi kerana takut melakukan perubahan dalam parti.
Retorik kajian siapa lebih popular, bukan ‘barang’ zaman ini lagi. Apatah lagi bila kajian itu dibuat oleh agensi sendiri. Kredibilitinya boleh jadi bahan jenaka rakyat dan ahli politik.
Cuba lihat PAS, PAS kekal dengan kekuatan akar umbi dan jentera dakwahnya. Bersatu pula, semakin dilihat sebagai parti elit yang menggunakan slogan “institusi presiden perlu dipertahankan”. Ya kita pertahankan institusi presiden, bukan sosok presiden.
Presiden itu pemimpin, dan jangan lupa “pemimpin datang dan pergi” tetapi, parti dan idealisme terus kekal - dan inilah yang kita mahu kekalkan, bukan batang tubuh presiden.
Atas semangat inilah, kita tidak boleh mengulangi kesilapan PH apabila mereka terus mengekalkan ‘institusi presiden’ dengan memikul segala beban “presidennya” sendiri.
Kerana itu Bersatu jangan mengulangi kesilapan PH yang akhirnya, menjerut leher mereka sendiri. Kecualilah, kita memang mahu jadi seperti PKR yang mempertahankan Anwar termasuk mempertahankan masalah Anwar.
MAHDZIR IBRAHIM adalah anggota Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
