Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SIS gugur perkataan Islam dari nama NGO
Diterbitkan:  Jul 31, 2025 11:01 AM
Dikemaskini: 3:01 AM

Sisters in Islam (SIS) hari ini mengumumkan bahawa pertubuhan itu akan menggugurkan perkataan "Islam" dari namanya, justeru hanya akan dikenali sebagai SIS Forum (Malaysia) mulai sekarang.

Pengarah Eksekutif SIS Forum, Rozana Isa, berkata langkah tersebut diambil berikutan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat agung luar biasa mereka pada 11 Julai lalu.

“Mulai sekarang, kami akan dikenali sebagai SIS Forum (Malaysia) iaitu nama berdaftar pertubuhan ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rozana, langkah mengubah nama berkenaan dibuat selaras dengan titah yang dikeluarkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah pada 20 Jun lalu.

Dengan perubahan itu, katanya SIS Forum berharap pertikaian mengenai nama NGO terbabit yang berlanjutan sejak lama dulu dapat ditamatkan.

Rozana juga berharap ia dapat membuka ruang untuk mereka bergerak ke depan dengan niat yang baik bersama semua pihak.

"Wanita adalah sama di mata Tuhan. Sesungguhnya, mereka juga mesti dilihat dan dilayan sama di mata manusia,” katanya lagi.

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pihak berkuasa agama Selangor terkhilaf apabila mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan SIS sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam keputusan 3-1 itu, panel empat hakim yang dipengerusikan ketua hakim negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, membenarkan rayuan NGO terbabit untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mahkamah tinggi pada 2014.

Mahkamah menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada jabatan agama Islam ke atas "orang yang menganut agama Islam", bukan syarikat.

Bagaimanapun, bahagian lain daripada fatwa itu dikekalkan termasuk kuasa mereka mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan mana-mana individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan Islam.

Sultan Sharafuddin kemudian melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Persekutuan dan menggesa NGO terbabit berhenti menggunakan nama “Sisters in Islam” dalam penerbitannya.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa "penyalahgunaan" perkataan "Islam" dalam nama dan penerbitan Forum SIS (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Rozana menjelaskan bahawa "Sisters in Islam" pada mulanya digunakan sebagai nama pena SIS untuk mencerminkan peranannya sebagai organisasi yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk wanita Islam di Malaysia.

Di sebalik perubahan itu, Rozana berkata, pasukannya tetap memberi komitmen penuh untuk memperjuangkan kesaksamaan jantina dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.

"Akhirnya, kerja yang kami lakukan untuk wanita Islam dan warganegara Malaysia yang paling penting," tegasnya.

Rozana berkata sudah terlalu lama kegiatan mereka disalah tafsir oleh sesetengah pihak sedangkan mereka bukannnya mencabar Islam tetapi mencari perlindungan yang lebih baik untuk wanita Islam di bawah undang-undang negara ini.

“Isu seperti nafkah, perceraian dan poligami yang dilakukan di luar proses mahkamah, peningkatan kes keganasan rumah tangga, dan kekurangan tafsiran sensitif gender terhadap peruntukan undang-undang Islam terus menjejaskan wanita Islam di seluruh negara.

"Kebimbangan ini adalah nyata dan sistemik. Mereka menuntut perhatian, bukan pengabaian," tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS