Seorang bekas pengarah urusan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya melantik suami sendiri sebagai penasihat teknikal serta mengarahkan wang syarikat – berjumlah lebih RM780,000 – dimasukkan ke akaun peribadi.
Farah Sabryna Nasarudin didakwa melakukan perbuatan itu antara 27 Jan 2021 hingga 28 Julai 2023 ketika memegang jawatan Pengarah Urusan Asiapac Oil & Gas Sdn Bhd.
Syarikat itu beralamat di Unit 19, Aras 19, Q Sentral, Kuala Lumpur Sentral.
Mengikut pertuduhan hari ini, Farah Sabryna, 46, didakwa melantik suaminya, Daniel Frederick Wall, sebagai penasihat teknikal tanpa kelulusan atau ratifikasi mesyuarat agung tahunan syarikat terbabit.
Wanita itu juga didakwa mengarahkan wang berjumlah RM786,209.30 dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya sendiri.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 218(1)(d) Akta Syarikat 2016.
Jika disabitkan kesalahan Farah Sabryna boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau denda maksimum RM3 juta, atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, Farah Sabryna mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Hamidah Mohamed Deril.
Nur Shakila Mohd Sharif yang bertindak sebagai timbalan pendakwa raya pada mulanya memohon jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan ke atas tertuduh.
Dia juga memohon agar pasport Farah Sabryna ditahan.
Namun, peguam bela yang mewakili Farah Sabryna, Narainasami Alugu memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh perlu menanggung lima orang anak yang masih bersekolah serta seorang ibu.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 Sept depan.
