Anwar gesa polis beri permit untuk perhimpunan Hindraf
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak polis supaya mengeluarkan permit untuk membenarkan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) mengadakan perhimpunannya Ahad ini.
Beliau yang juga ketua umum PKR berkata ia merupakan hak demokratik semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan dan keprihatinan mereka secara aman.
Satu kenyataan hari ini, Anwar berkata, sepertimana perhimpunan anjuran Bersih baru-baru ini, jika pihak polis bersedia untuk memberi kerjasama, keselamatan dan ketenteraman sebarang perhimpunan boleh dijamin.
Menurutnya lagi, masyarakat India telah lama menderita secara senyap dan sudah tiba masanya untuk mengakhiri pengabaian dan peminggiran semua rakyat miskin.
Beliau berharap perhimpunan tersebut akan mencapai matlamatnya untuk mempertegaskan kepentingan masyarakat India sebagai rakyat Malaysia,dan hak mereka untuk menikmati kehidupan yang berkualiti.
Sementara itu, penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar berkata permohonan Hindraf untuk mendapatkan permit polis untuk mengadakan perhimpunan tersebut telah ditolak oleh Ketua PolisCheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim dua hari lalu atas alasan teknikal dan keselamatan.
"Kita telah menghantar rayuan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Zulhasnan Najib Baharudin) serta kepada Perdana Menteri. Jika tidak diluluskan pun, kami tetap akan mengadakan perhimpunan aman itu kerana ianya merupakan hak kami mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Menyokong saman
Uthayakumar juga berkata, beliau juga mendapati pesanan SMS yang mendakwa samseng telah diupah untuk mengganggu perhimpunan aman tersebut, polis akan akan mengadakan sekatan jalanraya di sekitar bandaraya dan beberapa syarikat bas telah membatalkan perkhidmatan untuk membawa mereka yang mahu menghadiri perhimpunan di Kuala Lumpur Ahad ini.
Perhimpunan tersebut dijangka dihadiri kira-kira 10,000 orang, di mana Hindraf akan menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth ll untuk menyokong saman terhadap kerajaan British kerana membawa kaum India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.
Dalam saman tersebut, mereka menuntut AS$4 trillion (RM14 trillion) - atau AS$1 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.
Uthayakumar juga ditanya mengenai dakwaan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu bahawa Hindraf tidak memfailkan sebarang kes di London, tetapi hanya memberi notis untuk memfail satu kes.
"Kita telahpun memfailkan saman dan kita ada buktinya [...] siap dengan setem Ratu, nombor saman sivil dan resit bayarannya," katanya.
"Kita tidak pernah memfailkan sebarang notis. Jika Samy Vellu (foto) ada bukti mengenai notis tersebut, maka kita minta beliau menunjukkannya kepada kita. Samy Vellu tiada kena dengannya. Ia adalah antara Hindraf, kerajaan British dan kerajaan Malaysia," katanya.
Saman tersebut difailkan terhadap setiausaha negara UK bagi halehwal luar dan komanwel - pada 30 Ogos di sebuah mahkamah di London - yang mengambil masa sebulan untuk menyediakannya dan diuruskan oleh Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.
Khabar angin
Sementara itu, pesanan SMS dan khabar angin kini tersebar mengenai perhimpunan yang dirancang diadakan oleh Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di ibunegara Ahad ini.
Ini termasuk pesanan SMS yang mendakwa Ratu Elizabeth ll akan berada di pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Ahad ini.
Ketika dihubungi hari ini, Penasihat Udang-undang Hindraf, P Uthayakumar berkata, beliau sedang mendapatkan lebih ramai sukarelawan untuk menjawab panggilan di pejabatnya dari orang ramai mahu mendapatkan penjelasan mengenainya.
"Ratu Elizabeth ll tidak akan datang. Saya tidak dipukul dan saya tidak dirawat di unit jagaan rapi. Peguam lain dalam Hindraf juga tidak ditangkap," katanya ketika ditanya mengenai pelbagai khabar angin yang disebarkan.
(Ratu Elizabeth ll dijadual merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel yang akan berlangsung selama tiga hari Kampala, Uganda mulai Jumaat ini.) Berita asal