Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan kematian Zara Qairina ke AGC hari ini

Polis akan menyerahkan kertas siasatan mereka mengenai kematian Zara Qairina Mahathir kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini, kata Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail.

Perkembangan itu berlaku ketika keluarga Zara Qairina mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes itu, termasuk tidak menjalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematiannya.

“Kertas siasatan kes itu telah lengkap dan ia akan diserahkan kepada DPP (timbalan pendakwa raya) hari ini, insya-Allah,” kata Mohd Khalid kepada Malaysiakini.

AGC pula menyatakan mereka akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai kes itu lewat hari ini.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis sudah menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu SMK Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah itu.

Menurut Saifuddin, pihak berkuasa telah merekodkan keterangan daripada kira-kira 60 saksi.

Bagaimanapun, pasukan peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina meragui polis benar-benar sudah melakukan apa yang perlu untuk menentukan punca yang membawa kepada kematian pelajar berusia 13 tahun ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, peguam Ismail Hamid dan Shahlan Jufri berkata Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu menyerahkan barang-barang pelajar terbabit kepada ibunya, Noraidah Lamat, pada 16 Julai.

Barang-barang tersebut, kata mereka, berada dalam jagaan wakil NGO yang telah dilantik mewakili keluarga berkenaan.

Bagaimanapun, menurut peguam, polis tidak pernah mengambil barangan tersebut dan tidak menghubungi Noraidah untuk mendapatkannya bagi membantu siasatan.

“Kami berpendapat bahawa kertas siasatan yang dikemukakan polis kepada AGC adalah tidak lengkap, tidak teliti, dan mempunyai fokus yang sangat kecil.

“Tambahan pula, tiada bedah siasat dijalankan ke atas mayat Zara sebelum dikebumikan,” kata Ismail dan Shahlan.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang sekolahnya pada awal pagi sehari sebelum itu.

Sebelum ini, Noraidah dilaporkan melantik dua peguam untuk memulakan proses penggalian kubur anak perempuannya untuk bedah siasat.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS