Editor: Tajuk dan berita ini telah ditambah baik supaya lebih tepat.
PARLIMEN | Kerajaan akan mengekalkan penetapan peratusan kuota Bumiputera di Kuala Lumpur supaya tidak kurang daripada 40 peratus bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL20240).
Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa berkata kadar pada 2023 itu akan dikekalkan setelah dipertingkat kepada minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan 70 peratus (projek kerajaan atau usaha sama).
"Kuota ini telah ditetapkan ke atas semua kelulusan perancangan tanpa mengambil kira lokasi yang tertakluk kepada bentuk pembangunan.
“Bagi rizab Melayu pula, pematuhan pemilikan sepenuhnya 100 peratus mestilah kepada kaum Melayu tanpa sebarang kompromi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Zaliha berkata Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi kaum Melayu dan Bumiputera di Kuala Lumpur supaya tidak kurang daripada 40 peratus.
Katanya, strategi yang sedang diterokai bagi pembangunan di tanah rizab Melayu dan Tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) meliputi komponen rumah dan kedai mampu milik Melayu serta perindustrian ringan mampu milik Melayu.
Katanya, cadangan ini masih di peringkat awal kajian, dan perlu dirujuk kepada kelulusan jemaah menteri.
Terdahulu, Zaliha menjawab soalan Ahli parlimen Zulkifli Ismail (Jasin-PN) yang meminta jumlah keluasan penempatan tradisi dan rizab Melayu dan pelan jangka panjang bagi mengekalkan identiti, pemilikan dan kesinambungan komuniti Melayu di Kuala Lumpur.
28,000 respons
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Zulkifli berhubung isu pengambilan tanah khususnya Kampung Sungai Baru, Zaliha berjanji kementeriannya akan menerima pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung nasib orang Melayu di Kuala Lumpur.
"Sudah tentu libat urus kita mendengar suara semula akan dilaksanakan sebaik mungkin.
"Contohnya di Kuala Lumpur, apabila kita sebelum kita wartakan PTKL2040 ia menjadi keperluan kita mengadakan pendengaran awam.
"Untuk PTKL2040, kita menerima 28,000 respons, dari orang awam dan pihak kepentingan, apabila kita melaksanakan pembangunan maka kita terima pandangan orang ramai," katanya.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, di Kuala Lumpur yang merangkumi rumah teres dan flat mencuri perhatian apabila segelintir penduduk membantah pampasan yang dianggap tidak setimpal.
Zaliha, sebelum ini menjelaskan di parlimen, pembangunan tersebut hasil rundingan bersama antara pemilik dan pemaju tanpa paksaan atau tekanan.
Sebahagian penduduk yang enggan berpindah sebelum ini juga menegaskan bahawa ia bukan semata-mata kerana pampasan, tetapi kerana ingin mempertahankan warisan rumah pusaka keluarga.
Pemaju kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil alih tanah terbabit.
*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar.
