PARLIMEN | Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mendakwa wujud pendakwaan berpilih berhubung isu skandal rasuah yang terpalit ke atas ramai wakil rakyat di Sabah.
Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata apabila isu rasuah dibangkitkan orang ramai tidak boleh lari daripada teringat kepada skandal yang banyak diperkatakan sekarang melibatkan Adun Sabah.
Katanya umum mengetahui ada lapan Adun yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut.
Namun tambah Naib Presiden Bersatu itu lagi, hanya dua daripada mereka yang sudah didakwa di mahkamah
“Soalnya sekarang ialah, bagaimana dan apakah tindakan terhadap enam Adun yang lain?” katanya semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Menurut Ronald, ada antara Adun yang didakwa terlibat dalam skandal itu memegang jawatan penting dalam parti Gabungan Rakyat Sabah serta bekas ahli Warisan dan Umno.
Sebahagian daripada mereka, katanya, berjawatan timbalan presiden, naib presiden dan bendahari agung, selain seorang speaker dewan undangan negeri.
Pada masa sama, katanya, dua Adun yang sudah didakwa itu tidak pun memegang sebarang jawatan dalam parti.
“Apakah ada tindakan lanjut akan diambil?
“Adakah ini satu perkara yang tidak disengajakan ataupun ia dibuat secara selektif?” katanya.
Pada 30 Jun lalu, seorang ahli perniagaan, Albert Tei – yang menjadi pembocor maklumat kepada skandal itu – mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dia dituduh merasuah Pembantu Menteri Pembangunan, Perindustrian dan Keusahawanan, Andi Suryady Bandy; dan Adun Sindumin, Yusof Yacob; untuk mendapatkan bantuan lesen cari gali bahan mineral.
Andi – yang juga Ahli Parlimen Kalabakan – didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Yusof pula merupakan Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd dan didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di sebuah bar atas bumbung Hotel Hilton di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023.
Suapan itu didakwa bertujuan membantu memproses lesen cari gali untuk syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.
