Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Duduk bawah ketiak PM, macam mana Umno nak dominan - Khir Toyo

Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mengesahkan dia telah menyertai Bersatu, berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini berhubung keputusannya itu Khir berkata ia adalah kerana dia tidak lagi melihat Umno sebagai sebuah parti yang dominan dalam arena politik negara ketika ini.

“Menang atau kalah (dalam pilihan raya), kita serah kepada Tuhan. Tetapi jika kita mahu menjadi parti dominan, kita mesti berusaha dan bertanding di semua kerusi.

“Tetapi kalau asyik berlindung bawah ketiak perdana menteri, macam mana nak jadi dominan?

“Dan saya lihat Bersatu ada cita-cita untuk menjadi dominan. Sebab itu saya sertai mereka,” kata bekas pemimpin Umno itu.

Terdahulu, Ketua Bersatu Melaka, Rahim Tamby Chik mengesahkan bahawa Khir telah menyertai partinya.

Bekas ketua menteri Melaka itu mendedahkannya melalui satu hantaran Facebook yang turut disertakan dengan gambar mereka makan tengah hari bersama beberapa individu lain.

Mengulas lanjut, Khir berkata Umno kini hanya sekadar memainkan peranan sebagai parti supplement atau pelengkap dalam kerajaan, terutamanya kepada PH.

Katanya, ini terbukti apabila jumlah kerusi yang ditandingi oleh Umno dalam pilihan raya semakin berkurang dan tidak melebihi rakan gabungan seperti PKR.

Merujuk kepada Pilihan Raya Negeri Selangor yang lalu, Khir berkata Umno hanya mendapat 12 kerusi untuk ditandingi.

“Umno ini dah jadi supplement dah sekarang ini. Dia bertanding (pilihan raya) pun jumlah kerusinya tak akan lebih daripada PKR.

“Kalau Umno nak jadi parti dominan tapi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kurang daripada PKR macam mana nak jadi dominan.

“Sebab itu saya tak boleh setuju dengan perkara ini,” tambahnya.

Pada PRU15 pada 2022, Khir cuba membuat kemunculan semula dalam politik dengan mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Namun, BN memutuskan untuk mencalonkan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos sebagai calon. Bagaimanapun, Jamal tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).

Mengenai perancangannya untuk pilihan raya umum akan datang, Khir berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin telah memintanya untuk bekerjasama dengan setiausaha agung parti, Azmin Ali, serta bekas menteri, Noh Omar, untuk merangka strategi menawan Selangor.

Namun, pada masa sama, dia juga menolak sebarang kemungkinan untuk kembali menjadi menteri besar Selangor.

“Saya sudah 60 tahun. Saya cuma mahu negara ini berada di landasan yang betul untuk generasi akan datang... itu saja.”

Khir menjadi menteri besar Selangor dari tahun 2000 hingga 2008, sebelum negeri itu tewas kepada gabungan Pakatan Rakyat ketika itu, dan digantikan oleh Abdul Khalid Ibrahim.

Pada September 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya serta hukuman penjara setahun kerana memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, untuk dirinya dan isterinya daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Namun, pada Mac 2016, bekas Adun Sungai Panjang itu dibebaskan secara parol selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Kajang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS