PARLIMEN | Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu menangani soal kurangnya sokongan kerajaan terhadap industri kreatif bagi memastikan hasil karya tempatan diiktiraf di peringkat global, kata Amirudin Shari (PH–Gombak).
Merujuk kepada usaha kerajaan Korea Selatan yang menambah nilai kepada aktiviti seni dan kebudayaan mereka, Menteri Besar Selangor itu menegaskan bahawa struktur yang dilaksanakan itu tidak lahir secara semula jadi, sebaliknya diwujudkan dengan perancangan sebagai sebahagian dasar kerajaan negara itu.
"Korea Selatan, yang berjaya mencipta gelombang K-pop, sebelum itu Jepun pada era 1980-an dan 1990-an, telah melakukan beberapa anjakan besar yang turut mencipta nilai besar aktiviti kesenian dan kebudayaan mereka, atau yang dipanggil sebagai pop culture.
“Bagi gelombang K-pop, usaha kerajaan sejak tahun 1990-an memberi tumpuan kepada penghasilan kandungan tempatan, termasuk muzik, drama dan filem, dalam skala besar, sehingga melahirkan karya bertaraf antarabangsa seperti Parasite dan Squid Game," kata Amirudin dalam perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Merujuk kepada Pelan Induk Korea Selatan 2011 bagi pembangunan industri kandungan, Amirudin berkata Malaysia belum mempunyai dasar atau pelan pembangunan industri kreatif yang setara dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Naib presiden PKR itu berkata, pembinaan nilai dalam aktiviti yang sering dianggap sekadar hiburan wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan, serta diberikan peruntukan sewajarnya supaya pembangunan industri itu dapat mencapai matlamatnya.
"Ekonomi kreatif menawarkan ruang dan peluang yang sangat luas untuk dibangunkan, kita tidak boleh hanya fokus kepada satu sektor – kita perlu membina keseluruhan ekosistem, seperti yang dilakukan oleh Korea Selatan.
"Sehingga hari ini, Malaysia masih belum mempunyai dasar ekonomi kreatif negara atau pelan induk ekonomi kreatif," ujarnya.
Di peringkat kementerian sekalipun, katanya lagi, portfolio kebudayaan sering digabungkan bersama pelancongan dan kesenian, manakala Kementerian Komunikasi kini “secara besar-besaran” mengawasi hal ehwal berkaitan industri kreatif.
"Sedangkan nilaian ekonomi kreatif ini begitu besar capaiannya dan Malaysia mempunyai contoh-contoh (produk) yang berkualiti. Lihat sahaja Upin & Ipin terbitan Les’ Copaque yang menembusi Hollywood, atau Ejen Ali dan Mechamato.
"Di tahun-tahun sebelum ini kita cukup bangga, sudut pengiklanan kita, iklan Petronas yang menyayat hati - jadi imej kita, dapatan-dapatan nilai ini kalau tidak disokong dengan dasar kerajaan dengan nilai penciptaan yang berkualiti, ia akan hilang ditelan zaman, mungkin dicuri ke tempat-tempat lain," katanya lagi.
Justeru, tambahnya, sokongan kerajaan amat penting untuk memastikan 30 tahun dari sekarang, “Malaysian pop atau Malay pop akan menjadi siulan di seluruh dunia, bukan sahaja di negara kita”.
Jadi lebih agresif
Sementara itu, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) juga menggesa kerajaan agar lebih agresif dalam menyokong industri kreatif negara.
Menyifatkan industri itu dalam keadaan “menyedihkan”, dia berkata penggiat seni di Malaysia masih berdepan layanan yang teruk dan tidak dihargai.
Dia membangkitkan kes melibatkan pelawak Amirullah Azmi, atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak, yang baru-baru ini perlu membuat rayuan terbuka kepada sebuah stesen TV agar melunaskan tunggakan bayaran kepadanya demi membantu bapanya yang mengidap barah.

“Ini bukan kes terpencil — ini cerminan sistem yang rosak, di mana kebajikan penggiat seni bukan satu keutamaan.
“Di mana keadilan? Di mana perlindungan untuk artis kita? Kenapa mereka perlu terus mengejar hak yang sepatutnya diberikan dengan adil?” soalnya.
Ahli Parlimen DAP itu mencadangkan kerajaan agar bukan sahaja belajar daripada Korea Selatan, tetapi juga Indonesia dan Thailand yang telah membuat pelaburan besar dalam industri kreatif mereka.
“Sudah tiba masa kita lebih agresif. Wujudkan pakej menarik untuk pemuzik antarabangsa rakam lagu di sini—guna studio kita, tidur di hotel kita, belanja di komuniti kita.
“Pasarkan lokasi kita sebagai tapak penggambaran terbaik di rantau ini. Tapi sebelum itu — kita kena betulkan rumah sendiri dahulu,” katanya lagi.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, dan B Nantha Kumar.
