Kumpulan pembela hak pekerja asing, Tenaganita, menggesa penasihat DAP, Lim Guan Eng, memohon maaf atas kenyataannya di Parlimen bahawa pekerja asing sedia ada tidak perlu dilibatkan dalam dasar gaji minimum atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Malaysia.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “menghina”, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, berkata kenyataan Lim mencerminkan sikap tidak peka yang mengabsahkan eksploitasi dan sikap tidak manusiawi terhadap pekerja asing.
“Ini bukan sekadar tidak peka, ia mengukuhkan sikap tidak manusiawi terhadap pekerja asing, menghalalkan amalan pekerjaan eksploitatif, dan secara asas mengkhianati prinsip keadilan serta kesaksamaan,” katanya kepada Malaysiakini.
Dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen semalam, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata Malaysia tidak terikat dengan mana-mana konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dan oleh itu, tidak wajib mengenakan dasar gaji minimum RM1,700 atau caruman KWSP 2 peratus ke atas pekerja asing yang telah pun diambil bekerja.

Menurut Lim, dasar gaji minimum dan caruman sepatutnya hanya terpakai kepada pengambilan pekerja asing baru kerana pekerja sedia ada telah diambil dengan terma yang berbeza. Kenyataan ini mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Pekerja asing penting dalam ekonomi Malaysia
Glorene mengingatkan bahawa pekerja asing sangat penting kepada ekonomi negara, terutama dalam sektor pembinaan, perkilangan, perladangan, pemprosesan makanan dan pembersihan.
Berdasarkan pengalaman berdekad-dekad Tenaganita bersama komuniti pekerja asing, dia menyatakan bahawa terdapat banyak kes yang membabitkan kecurian upah, kerja lebih masa tanpa bayaran, dan keadaan kerja berbahaya.
“Gaji minimum bukan satu kemewahan. Ia adalah perlindungan asas terhadap eksploitasi struktural.
“Menafikan hak KWSP kepada pekerja asing adalah merampas maruah mereka pada usia persaraan, dan menafikan keselamatan jangka panjang — manakala majikan terus meraih keuntungan dari tenaga kerja mereka,” tegasnya.
Caruman KWSP berperingkat
Pada Februari lalu, Tenaganita mencadangkan agar diwujudkan kadar caruman KWSP berperingkat untuk pekerja asing, berbanding kadar 2 peratus yang dicadangkan kerajaan — penurunan besar daripada 12 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 tahun lalu.
Glorene turut menekankan halangan khusus yang dihadapi pekerja asing wanita dalam sektor kilang, pertanian dan makanan, yang sering mengalami diskriminasi berasaskan jantina, gangguan seksual dan ketidaksamaan upah.
“Menafikan mereka gaji minimum adalah meneruskan keganasan ekonomi berasaskan jantina,” katanya, sambil menyifatkan pengecualian itu sebagai mencerminkan mentaliti kapitalis yang mengutamakan keuntungan berbanding manusia.
Tenaganita turut mengulangi gesaan mereka agar kerajaan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang buruh dan mengenakan hukuman terhadap majikan yang gagal membayar atau menahan gaji pekerja.
Sebagai ahli kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Malaysia telah meratifikasi 8 daripada 10 konvensyen asas, termasuk konvensyen berkaitan pembayaran upah yang saksama.
Konvensyen tahun 1951 itu menjamin perlindungan daripada diskriminasi upah berdasarkan jantina, manakala sekurang-kurangnya tiga konvensyen lain yang turut diratifikasi Malaysia menyediakan perlindungan menyeluruh kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.
