Pemuda PKR Selangor menyifatkan tindakan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, yang menuntut ganti rugi berjumlah RM1 juta serta permohonan maaf daripada Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi sebagai politik ugutan yang membunuh suara demokrasi.
Kesal dengan tindakan itu Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata langkah ini bukan sahaja berlebihan, malah memberi gambaran cubaan menutup suara anak muda yang berani bersuara mempertahankan maruah negara.
“Teguran yang dibuat oleh Nabil Halimi adalah respons terhadap penghinaan terbuka yang dilakukan melalui hantaran karikatur yang memperlekehkan usaha diplomatik Malaysia dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja.
“Usaha ini dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia (Anwar Ibrahim) selaku pengerusi Asean dan merupakan misi penting yang membawa nama baik negara di peringkat antarabangsa.
“Dalam demokrasi, kritikan terhadap tindakan yang merendahkan imej negara bukanlah jenayah atau fitnah, sebaliknya ia adalah hak rakyat untuk bersuara demi mempertahankan integriti negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ahmad Fadhli menuntut permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada Nabil, berhubung hantaran Facebook yang didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang dikendalikan negara.
Dalam surat tuntutan yang dilihat Malaysiakini, Nabil juga dituntut untuk menarik balik kenyataan yang dibuatnya yang didakwa mengandungi fitnah, serta tidak lagi mengulanginya.
Mengesahkan perkara itu, Nabil berkata dia akan mempertahankan haknya sebagai rakyat Malaysia untuk bersuara secara bebas.
Pada 26 Julai lalu, iaitu dua hari sebelum rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya, Fadhli memuat naik karikatur menunjukkan seekor kambing berebut sebiji pisang bersama seekor biri-biri sambil disaksikan monyet yang digambarkan sebagai hakim.
Mengiringi hantaran itu ialah tangkap layar laporan berita mengenai krisis antara Thailand dan Kemboja, serta keterangan “kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”
Hantaran oleh ahli Parlimen Pasir Mas itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, antaranya kerana ia dianggap mempersenda usaha diplomatik Malaysia untuk mendamaikan dua negara berjiran yang berperang.
Mohamad Shahrul menegaskan cubaan mengugut melalui tuntutan kewangan yang melampau hanya akan melemahkan budaya politik sihat dan memberi isyarat bahawa suara anak muda boleh dibungkam.
“AMK Selangor menegaskan, jangan hanya kerana anda seorang Ahli Parlimen maka anak muda akan berdiam diri. Generasi muda hari ini tidak gentar untuk menyatakan kebenaran dan akan terus bersuara menegur mana-mana pihak yang cuba merendah-rendahkan peranan serta merosakkan imej negara,” katanya.
