Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amir Hariri bebas pertuduhan berkaitan perhimpunan aman

Bekas Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi, dibebaskan daripada pertuduhan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) atas dakwaan gagal memaklumkan pihak berkuasa tentang penganjuran himpunan #ManaKapalLCS pada tahun 2022.

Perintah pembebasan penuh itu dibuat oleh Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan pagi ini, selepas Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat mendakwa semula Amir pada masa akan datang.

“Disebabkan tiada arahan untuk mendakwa semula tertuduh, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan,” kata Farah Nabihah.

Mahkamah turut mengarahkan wang jaminan Amir sebanyak RM4,000 dikembalikan sepenuhnya.

Keputusan ini turut mengambil kira hujah pihak pendakwaan dan pembelaan yang dikemukakan pada 5 Ogos lalu, serta keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai yang membatalkan peruntukan undang-undang tersebut, dan keputusan Mahkamah Tinggi mengembalikan semula kes ini ke Mahkamah Majistret untuk diputuskan.

Pada Selasa lalu, pihak pendakwaan memohon supaya Amir dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) mengikut Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah.

Namun peguam Amir, Rajsurian Pillai, memohon pembebasan penuh memandangkan DNAA boleh membuka ruang kepada pendakwaan semula pada masa hadapan.

Amir, yang kini Pengarah Eksekutif Mandiri, didakwa pada 22 Ogos 2022 — tujuh hari selepas himpunan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo, dan mengaku tidak bersalah sebelum dibebaskan dengan jaminan RM4,000.

Himpunan #ManaKapalLCS diadakan pada 14 Ogos 2022 bagi menuntut penjelasan kerajaan mengenai isu kapal tempur pesisir (LCS).

Amir mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar peruntukan undang-undang di bawah PAA itu di Mahkamah Persekutuan, yang akhirnya memutuskan pada Julai 2025 bahawa peruntukan tersebut tidak berperlembagaan dan tidak lagi sah.

Sebelum ini, Seksyen 9(5) PAA menetapkan bahawa penganjur himpunan aman boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 jika gagal memaklumkan pihak berkuasa sekurang-kurangnya lima hari sebelum himpunan diadakan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai memutuskan bahawa adalah tidak berperlembagaan untuk menjadikan kegagalan memaklumkan kepada pihak berkuasa sebagai satu kesalahan jenayah bagi penganjur perhimpunan aman.

Panel lima hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, berpandangan bahawa peruntukan itu bercanggah dengan maksud asal Akta Perhimpunan Aman seperti yang diluluskan Parlimen, serta bercanggah dengan hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan selepas prosiding, Amir berkata keputusan hari ini menamatkan perjuangan selama tiga tahun untuk mendapatkan keadilan.

Dia turut berterima kasih kepada pasukan peguam dan orang ramai atas sokongan sepanjang tempoh itu, namun menegaskan bahawa keputusan mahkamah tidak menutup kegagalan kerajaan dalam isu skandal LCS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS