Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Barang siapa durhaka nescaya disula - Ti
Diterbitkan:  Aug 11, 2025 12:30 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Pemimpin Umno dan MCA berperang di media sosial susulan prospek masa depan MCA dalam BN.

Kritikan timbal balas itu malah membawa kepada isu titah tambahan diraja berkaitan penahanan rumah Najib Razak, yang didakwa tidak dipatuhi.

“Kalau dahulunya ini berlaku, keengganan pentadbir mematuhi titah Tuanku adalah satu durhaka  yang boleh dihukum dengan sula, hari ini?

“⁠Ingatlah bahasa Melayu klasik ini Abang Puad: Barang siapa durhaka, nescaya disula, agar jadi iktibar kepada segala rakyat jelata,” kata bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker kepada pemimpin Umno Mohd Puad Zarkashi.

Ti berkata demikian ketika mengingatkan Umno supaya memfokuskan usaha untuk membela Najib yang sedang dipenjarakan atas kesalahan rasuah.

Terdahulu Puad mengkritik Ti kerana menyifatkan BN sebagai “empty shell waiting to be cracked”, bahasa simbolik bermaksud retak menanti belah.

Puad, anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, menyifatkan Ti sebagai batu api yang ada muslihat. 

Puad Zarkashi

Dia malah mendakwa Ti masih “bernafsu besar” dan mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Peluang tertutup rapat bagi dirinya jika BN bekerjasama dengan DAP. Lagi pun peluang menang lagi cerah jika dapat undi solid daripada PAS.

“Berbanding Gerakan, Lian Ker yakin PAS akan pilih MCA yang jauh lebih berstruktur. PAS sanggup pinggirkan Gerakan,” katanya.

Sementara itu, Ti membalas Puad sebagai suka membuat kenyataan "generalisasi secara tergesa-gesa”.

“Mungkin dia tak pandai, mungkin dia sengaja,” katanya.

Ti menjelaskan kenyataannya berkaitan retak menanti belah itu sebenarnya penentangan terhadap kemungkinan berlakunya gabungan Umno dan DAP–yang digelarkan sebagai Umdap–dan bukan BN.

“Ini juga akan bermakna berakhirlah BN apabila Umdap menjadi pengganti BN. 

“Mungkin Puad mahu lihat BN dikuburkan dan diganti dengan Umdap?” katanya.

Sementara itu, Ti juga mempertahankan dirinya daripada gelaran masih bernafsu besar dalam politik.

“Saya pekerja politik bukan pemain politik macam kamu, Puad!” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS