Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan takut kibar Jalur Gemilang kerana insiden bendera terbalik - menteri
Diterbitkan:  Aug 11, 2025 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang melahirkan rasa kesal dengan insiden bendera Malaysia digantung terbalik baru-baru ini, menyifatkannya sebagai tidak wajar dan mampu mencemarkan imej patriotik negara.

"Saya tentunya kesal berkenaan insiden penggantungan bendera Malaysia secara terbalik yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

"Tindakan tersebut sememangnya tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu kesalahan yang memberi gambaran negatif terhadap semangat patriotisme negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aaron menegaskan bahawa menggantung bendera secara terbalik adalah bertentangan dengan prosedur yang betul untuk menaikkan bendera negara, seperti yang termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Bagaimanapun, dia menggesa orang ramai supaya tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan sebelum siasatan selesai, sambil menyatakan bahawa kejadian itu mungkin disengajakan, tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa ia mungkin berlaku kerana kekhilafan atau ketidaktahuan orang awam mengenai cara yang betul untuk mengibarkan bendera.

"Dalam semangat perpaduan, kita tidak seharusnya terburu-buru membuat andaian tanpa menunggu hasil siasatan yang lengkap.

"Saya menyeru semua pihak agar meredakan keadaan dengan mengelakkan sebarang kenyataan atau perbuatan yang bersifat provokatif dan boleh memburukkan lagi keadaan," katanya.

Kesilapan mengibar bendera terbaru tular di media sosial semalam selepas seorang pengguna Facebook, Nazirul Hafiz, menyiarkan video berdurasi 20 saat di mana seorang pemilik kedai dari Pulau Pinang, Feng Jin Zhen, dilihat membawa bendera terbalik di atas tiang, manakala seorang lagi merakamnya.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Alwi Zainal Abidin mengesahkan penahanan Feng, tetapi masih tidak jelas sama ada dia akan mendakwa kerana polis akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menangguhkan rancangannya untuk berjumpa Feng dan mengajarnya tentang cara mempamerkan Jalur Gemilang selepas penahanan ahli perniagaan itu, manakala Pemuda Umno juga menangguhkan rancangannya untuk mengadakan perhimpunan "Maruah Tanah Airku" berhubung isu itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Pada 9 Ogos, Kwong Wah melaporkan bahawa Feng telah menjelaskan bahawa dia sedang mengukur panjang sebatang tiang besi semasa menggantung bendera negara dan tidak menyedari kesilapan itu.

Sementara itu, Aaron menambah bahawa perkara itu harus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan menentukan tindakan atau hukuman yang sewajarnya, sambil menekankan bahawa ia harus menjadi pengajaran untuk lebih memahami dan menghormati simbol negara.

Dia turut memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak berasa takut atau teragak-agak untuk mempamerkan bendera kerana insiden itu.

"Sebaliknya, kita harus mengambil peluang ini untuk belajar dan memahami tatacara yang betul dalam mengibarkan Jalur Gemilang.

"Saya menggalakkan semua rakyat agar terus menyokong kempen Kementerian Komunikasi iaitu '1 Rumah, 1 Jalur Gemilang' sempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda cinta dan semangat patriotik kepada negara,” katanya.

Aaron berkata, kementeriannya telah mengarahkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menjalankan kempen kesedaran di kawasan Rukun Tetangga, serta melalui Kelab dan Sekretariat Rukun Negara, bagi memastikan orang ramai memahami sepenuhnya cara mengibarkan bendera negara dengan betul sebagai lambang patriotisme dan perpaduan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS