Lawyers for Liberty (LFL) menyeru orang ramai menyertainya NGO berkenaan menyatakan pendirian dan bersama sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang yang terlibat dalam insiden memasang bendera terbalik baru-baru ini.
Pengarah LFL Zaid Malek berkata adalah tidak masuk akal apabila kerajaan dan polis tidak bertindak untuk menghentikan gangguan dan buli dilakukan Pemuda Umno Malaysia yang diketuai Dr Akmal Saleh itu.
"Sekiranya kerajaan tidak akan campur tangan, saya akan mengambil tindakan yang perlu untuk meredakan keadaan dan melindungi pemilik kedai daripada buli dan ugutan haram.
"Saya akan berada di kedai di Pulau Pinang pada Khamis untuk bertemu dengan Akmal dan mengajarnya bahawa tindakan dia adalah salah, dan akan menasihatinya supaya patuh kepada undang-undang, termasuk dengan tidak melakukan tindakan ugutan atau pencerobohan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zaid, melalui cara aman dia juga akan menasihati Akmal agar tidak menimbulkan kebencian dan mengganggu orang ramai melalui ancaman vigilantisme atau kezaliman kumpulan.
Menegaskan dia sangguh bedepan dengan Akmal secara sendirian, Zaid juga menyeru orang ramai untuk menyertainya nanti.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang berfikiran betul dan bosan dengan gangguan serta buli sebegini daripada ahli politik seperti Akmal untuk membuat pendirian ini dengan saya, secara aman dan dalam semangat perpaduan Malaysia.
"Sudah tiba masanya untuk membanteras ketaasuban, prejudis, buli dan mengumpan kaum.
“Marilah kita lakukan apa yang kerajaan ini tidak mahu buat, dan berdiri teguh menentang pembulian rakyat biasa oleh ahli politik yang mempunyai keistimewaan dan kuasa," kata Zaid.
Sementara itu MCA pula berpendapat Akmal menjadikan isu itu untuk kepentingan politiknya.
Presiden MCA,c Wee Ka Siong, berkata penguatkuasaan mesti dibuat mengikut kedaulatan undang-undang, bukannya kata dua daripada orang politik atau ancaman peribadi.
Kata Wee seseorang pemimpin harus membangkitkan semangat patriotisme melalui pendidikan, teladan, dan tindakan yang sah, bukan dengan melantik diri sendiri menjadi penguat kuasa.
Insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik itu mendapat perhatian umum pada Sabtu lalu selepas tular video berdurasi 20 saat yang dirakam seseorang.
Pemilik kedai itu, Feng Jin Zhen, kemudian menjelaskan bahawa dia sedang mengukur panjang tiang besi semasa menggantung bendera berkenaan dan tidak menyedari ia terbalik.
Kata Feng kesilapan itu segera dibetulkan sebaik saja ia disedari.
Akmal kemudian merancang untuk mengadakan "kuliah" memasang Jalur Gemilang di luar kedai berkenaan pada hari Isnin lalu namun ditangguhkan selepas Feng ditahan.
Akmal kemudian memperbaharui rancangannya semalam dalam usaha untuk menekan pihak pendakwa supaya bertindak.
Semalam dia berkata, jika pertuduhan terhadap pemilik kedai itu tidak difailkan selewat-lewatnya hari ini, dia akan menganjurkan perhimpunan di luar kedai tersebut - di Kepala Batas - untuk "mendidik" Feng.
