Pemimpin pembangkang menggesa laporan bedah siasat kematian pelajar Zara Qairina Mahathir didedahkan segera.
“Sudah terlalu banyak spekulasi mengenai kenapa bedah siasat tidak dilakukan di peringkat awal kematian Zara Qairina.
“Jangan biarkan timbul spekulasi pula mengenai kenapa laporan bedah siasat lewat disediakan,” kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
Gesaan itu dibuat setelah dia dan anggota parlimen PN menerima daripada kumpulan pelajar dan aktivis di pekarangan parlimen hari ini bagi menuntut keadilan dalam kes kematian pelajar tingkatan satu itu.
Semalam peguam keluarga, Shahlan Jufri mengumumkan bahawa proses bedah siasat selesai selepas kira-kira lapan jam prosedur.
Dalam kenyataan hari ini, Wan Saiful berkata, pelbagai spekulasi timbul, antaranya dakwaan ada pihak sengaja mahu melengahkan laporan bedah siasat sehingga selepas pilihan raya negeri Sabah.
“Jangan biarkan spekulasi seperti ini berterusan. Laporan bedah siasat mesti disegerakan.
“Tragedi Zara Qairina adalah isu kemanusiaan, bukan isu politik pilihan raya,” katanya yang juga anggota parlimen Tasek Gelugor.
Zara dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Kuburnya di Tanjung Ubi, Sipitang digali semula kelmarin untuk dibedah siasat.
Demo depan parlimen
Terdahulu orang ramai berkumpul di depan pintu parlimen bagi menyatakan keprihatinan mereka terhadap kes itu dan menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat yang sedang bersidang.
Mereka antaranya menuntut reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan khususnya berkaitan isu buli serta penubuhan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat itu.
“Hasil siasatan mesti dibentangkan secara terbuka kepada rakyat,” menurut memorandum itu.


