Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP nak sambut 'pembuli' kedai dengan 831 Jalur Gemilang
Diterbitkan:  Aug 12, 2025 12:49 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

DAP akan menggerakkan ahlinya di Pulau Pinang bagi mempertahankan pekedai yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik daripada diganggu oleh pihak tertentu.

Setiausaha agungnya Anthony Loke berkata pihaknya juga akan mengedarkan sebanyak 831 helai Jalur Gemilang sekiranya ada mana-mana pihak cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis tersebut.

“Jika ada sesiapa yang cuba mengganggu ketenteraman di premis tersebut, ahli-ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut mereka dengan mengedarkan 831 Jalur Gemilang secara percuma sebagai tanda perpaduan sempena (Hari Kebangsaan) pada 31 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dipercayai angka 831 itu bersempena dengan tarikh sambutan hari kebangsaan negara iaitu 31 Ogos.

Walaupun tidak menyebut nama, Loke diyakini memberi respons terhadap langkah Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang mengancam untuk mengadakan bantahan di luar kedai perkakasan di Kepala Batas lusa jika pemilik kedai itu tidak didakwa kerana mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik dalam sebuah video berdurasi 20 saat yang tular.

Semalam Akmal berkata, dia akan "mengajar" pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang mengenai cara memasang bendera dengan betul sekiranya tiada pendakwaan dikenakan terhadap individu itu dalam tempoh dua hari.

"Jika hari esok dan hari Rabu tak ada langsung pendakwaan ke atas individu ini, maka insya-Allah hari Khamis saya akan turun dan kita akan beri kelas untuk ajar apek ini cara bagaimana nak pasang bendera dengan betul,” katanya dalam satu video di Facebook.

Pasang Jalur Gemilang besar

Tidak dapat dipastikan apakah "demonstrasi" memasang bendera itu akan berlangsung serentak dengan perhimpunan yang mahu dianjurkan Pemuda Umno.

Akmal yang juga Adun Merlimau itu memberi tempoh dua hari kepada pihak berkuasa mengambil tindakan dan mengingatkan supaya isu itu tidak dipendam.

Dalam perkembangan sama, DAP mengutuk keras tindakan pihak tertentu yang cuba memberi tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa seorang pekedai di Pulau Pinang yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di depan kedainya.

Loke berkata, langkah itu adalah tindakan mencampuri dan cuba mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.

“Pihak peguam negara perlu diberi ruang secara bebas untuk membuat sebarang keputusan tanpa apa-apa tekanan politik,” tegasnya lagi.

Akmal Saleh

Loke menyifatkan ugutan untuk mengadakan protes di depan kedai tersebut sekiranya tidak ada pendakwaan dalam masa terdekat adalah tindakan buli secara terang-terangan yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Bukan sahaja tindakan buli di sekolah perlu ditentang, tindakan buli terhadap warga emas juga perlu dibantah sekeras-kerasnya.

“Namun, untuk menangani pihak yang kurang matang seperti ini, kita perlu menunjukkan kewarasan berfikir yang lebih tinggi dan menggunakan cara yang aman dan beradab,” katanya.

Dia yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah, DAP juga akan memasang Jalur Gemilang gergasi di premis kedai tersebut petang ini supaya semua orang boleh melihat dengan jelas bahawa ia diletakkan dengan sewajarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS