Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG gagal ketepikan prosiding semakan titah adendum Najib

Permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung perintah tahanan rumahnya akan didengar di Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pagi ini yang menolak rayuan Peguam Negara (AG).

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim, mendapati bahawa walaupun AG berhujah titah tambahan (addendum order) itu wujud, kewujudan tersebut tidak secara automatik menjadikan perintah itu sah.

Mereka berkata kesahihan titah tambahan itu hanya boleh ditentukan dalam perbicaraan penuh kelak.

“Perlu diambil perhatian bahawa semasa hujahan, AG telah mengakui kewujudan titah tambahan tersebut. Pengakuan ini memberi kesan besar terhadap persoalan yang dibawa di hadapan kami, khususnya yang berkaitan dengan kewujudan bukti baru yang dipertikaikan.

“Persoalan sama ada titah tambahan ini benar atau tidak adalah isu yang boleh dihujahkan dalam pendengaran substantif semakan kehakiman.

“Buat masa ini, titah tambahan itu wujud dan statusnya, sama ada sah atau benar, perlu dipastikan dalam perbicaraan substantif. Kami tidak menganggap wajar atau adil untuk memberi sebarang pandangan mengenai perkara ini pada peringkat sekarang,” kata Hakim Zabariah Mohd Yusof yang membacakan keputusan panel hakim hari ini.

Selain Hasnah dan Zabariah, panel hakim turut dianggotai Hakim Hanipah Farikullah.

Panel itu menolak rayuan AG terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang membenarkan kes mengenai titah tambahan itu didengar di Mahkamah Tinggi, serta menerima afidavit Mohd Nizar Razak dan surat Sultan Pahang sebagai bukti baru kewujudannya.

Terdahulu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, membuat permohonan lisan kepada Mahkamah Persekutuan supaya pendengaran semakan kehakiman diteruskan, kerana bimbang kes itu akan mengambil masa lebih lama jika dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.

Sebagai respons, Hasnah berkata: “Sebagai Hakim Besar Malaya, saya telah memberi arahan tegas kepada semua hakim di seluruh negara supaya kes diselesaikan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan.”

Zabariah pula menjelaskan kepada Shafee bahawa hak Najib atau pihak responden lain untuk merayu terhadap sebarang keputusan boleh terhalang jika Mahkamah Persekutuan meneruskan pendengaran, memandangkan keputusan mahkamah tertinggi itu adalah muktamad.

Katanya, perkara itu akan menjadi tidak adil demi kepentingan keadilan, sebelum panel mengarahkan Mahkamah Tinggi mengadakan pengurusan kes pertama pada 18 Ogos dan menetapkan tarikh pendengaran sebulan selepas itu.

Najib memfailkan permohonan pada April tahun lalu yang bertujuan mendapatkan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah tambahan diraja yang membolehkan dia menjalani baki hukuman penjara di rumah, masih berada di peringkat kebenaran (leave).

Responden yang dinamakan dalam permohonan itu ialah AG, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undangnya.

Pada 3 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas responden berkenaan.

Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 6 Januari lalu, yang menyebabkan Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan.

Najib disabitkan kesalahan rasuah pada 2022 atas penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Dia dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM120 juta, sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta pada 2 Februari tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS