Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pergelutan dengan polis, pemimpin PSM tersembam ke tanah
Diterbitkan:  Aug 13, 2025 11:31 AM
Dikemaskini: 5:56 AM

Pergelutan berlaku antara beberapa pekerja estet dan pihak polis selepas pihak berkuasa itu dilihat cuba menghalang mereka berarak ke pintu pagar Parlimen.

Timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan, turut terjatuh ketika kekecohan itu.

Berang dengan kejadian tersebut, peserta perhimpunan mula menjerit “Jangan Tolak”.

Polis kemudian dilihat cuba menghalang Arutchelvan dan beberapa yang lain daripada terus berarak.

Arutchelvan berkata, kejadian sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat berhak berkumpul di luar Parlimen secara aman.

"Mereka cuba halang kita...kita cakap kita tak akan masuk pagar (Parlimen). Kita tak nak berdiri jauh dari Parlimen.

"Kita rasa rakyat berhak berhimpun di luar Parlimen, kalau di luar Parlimen di sini, luar pagar, bukan di seberang jalan raya sana. Kita nak berkumpul di luar Parlimen sebab itu hari ini kita 'bertembung', dia (polis) halang kita, tapi (akhirnya) bagi masuk.

"Perlembagaan kita tidak menghalang perhimpunan secara bebas tanpa senjata," katanya ketika ditemui media di hadapan pintu masuk Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Arutchelvan bersama ratusan pekerja ladang berarak dari Taman Tugu di ibu kota berarak ke Parlimen.

Perarakan dan himpunan itu bertujuan untuk menyerahkan memorandum bagi mendesak kerajaan mengadakan undang-undang akta bagi memastikan syarikat perladangan membina kediaman buat pekerja mereka.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi M Kulasegaran, wakil timbalan perdana menteri II dan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan.

Menurut Arutchelvan, wakil pekerja ladang adalah dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Kedah.

"Akta ini kita telah buat draf untuk senangkan kerja dia (kerajaan) dan kita sudah bagi kepada lima kerajaan negeri," katanya lagi.

Jelasnya, era bekas perdana menteri Razak Hussein lagi telah mewujudkan satu skim supaya syarikat perladangan membina kediaman kepada pekerja ladang.

Namun disebabkan ketiadaan akta khusus, maka ini tidak dipatuhi oleh syarikat perladangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS