Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang susulan pantun Presiden PAS, Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang menyindir Kuala Lumpur sebagai bermasalah di bawah DAP dan PH.
Pantun tersebut berbunyi:
Dari Kuala Lumpur pergi ke Sabah
Berpatah balik menuju Kelantan
Jangan berlumpur tersungkur rebah
Lebih baik letak jawatan
Kekecohan itu memaksa Speaker, Johari Abdul menegur ahli parlimen daripada kedua-dua blok, dengan menyifatkan kelakuan mereka sebagai “memalukan”.
Kekecohan bermula ketika ahli-ahli parlimen membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) apabila Chong Zhemin (PH-Kampar) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1), mendakwa isu yang dibawa Abdul Hadi tidak berkaitan dengan perbahasan.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan beberapa ahli parlimen pembangkang, termasuk Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang berkata peraturan itu hanya terpakai pada rang undang-undang.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian mengaitkan Peraturan Mesyuarat 36(6) yang melarang ahli Dewan mengaitkan niat buruk kepada pihak lain.
"Saya hadir untuk mendengar amanat YB Marang sebagai seorang tok guru yang kita hormati daripada parti PAS. Kita menghormati beliau sebagai seorang pemimpin parti.
"Sebagai seorang pemimpin PAS yang kita hormati, kenapa perlu Marang mengeluarkan kenyataan bahawa Kuala Lumpur adalah tempat yang bermasalah kerana ada DAP, Barisan Nasional (BN) dan PH," kata Rayer.
Ini menyebabkan Awang Hashim (PN-Pendang) bangkit dengan mengatakan Rayer berbohong.
Dewan menjadi lebih panas apabila Awang mempertahankan pantun Abdul Hadi yang mengaitkan masalah di Kuala Lumpur dengan pentadbiran DAP, PH dan BN.

"Ada DAP memerintah yang jadi masalah, dulu tak apa pun,” katanya.
Rayer kemudian menjawab “Ini standard PAS”.
Chong kemudian mencelah dengan mengatakan: "Kalau saya sebut Kedah, Kelantan ada masalah kerana PAS boleh tak?"
Ini menyebabkan Che Zulkifly menjerit, “Ini standard DAP!”
Suhaizan Kayat yang mempengerusikan dewan ketika itu cuba meredakan keadaan, namun suasana terus menjadi panas.
Johari kemudian mengambil alih kerusi speaker dan meminta kedua-dua pihak bertenang.
Namun selepas Young Syefura Othman (PH-Bentong) memulakan ucapan, Chong kembali membangkitkan isu kata-kata kesat di Dewan Rakyat, menyebabkan Johari menengking: “Diam! Kedua-dua pihak duduk!”
Johari sekali lagi menegur Awang dan Rayer dengan mengingatkan mereka supaya tidak menimbulkan provokasi.
“Apa ni? Wakil rakyat jenis apa macam ni? Memalukan,” katanya dengan nada kesal.
Johari kemudian mengarahkan Syefura meneruskan ucapan.
“Bentong tak kena marah?" kata Syefura berseloroh yang diberikan masa lima minit untuk berbahas.
