Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buli di sekolah makin parah: Ada dikurung, ada hidung patah
Diterbitkan:  Aug 13, 2025 3:35 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Empat murid sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas dakwaan mencederakan rakan sekelas dalam insiden berasingan.

Dalam satu kes, dua pelajar perempuan tingkatan satu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan mengurung secara salah rakan mereka di tandas sekolah bulan lalu. Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah.

Sinar Harian melaporkan bahawa mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada rakan sekelas pada kira-kira jam 6.40 petang di sebuah sekolah menengah pada 14 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh mengurung secara salah mangsa yang sama pada masa dan tarikh yang sama, satu kesalahan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang juga membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.

Timbalan pendakwa raya Nur Hazwani Md Nor memohon jaminan RM4,000, namun peguam N Nagaratnam memohon pengurangan dengan alasan tertuduh masih bersekolah, telah memberi kerjasama kepada polis, dan mempunyai ibu bapa sebagai penjamin.

Dalam kes berasingan, dua pelajar lelaki tingkatan tiga mengaku bersalah mencederakan rakan tingkatan empat mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada kira-kira jam 12.15 tengah hari di dewan sekolah pada 21 Julai lalu. Mereka didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.

Hidung patah

Dalam kejadian berasingan di Kuala Terengganu, seorang murid tahun dua patah hidungnya dan mengalami retak di bahagian berhampiran mata selepas didakwa dipukul beberapa rakan sekolah pada 30 Julai lalu.

Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu apabila anak keduanya pulang ke rumah sekitar jam 4 petang dengan hidung berdarah dan lebam di muka.

Menurutnya, dia segera membawa anak itu ke klinik swasta sebelum imbasan X-ray yang dijalankan mengesahkan hidungnya patah.

“Anak saya sebelum ini pernah beritahu dia sering dibuli, tetapi saya tidak sangka ia akan jadi seteruk ini.

“Dia diserang sekumpulan murid – ada yang memegang tangannya supaya tidak dapat lari, manakala yang lain menolak dan menumbuk mukanya sehingga dia jatuh, menyebabkan hidung patah dan retak berhampiran mata,” katanya.

Kes-kes ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan awam yang semakin meningkat terhadap lonjakan insiden buli di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS