WAWANCARA | Sekian lama menjadi 'barah' yang merencatkan pembangunan Sabah, PAS berpendapat pendekatan 'politik gaduh' perlu dinoktahkan segera demi masa depan yang benar-benar menjamin kesejahteraan rakyat.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, berkata pergaduhan politik berpanjangan di Negeri di Bawah Bayu itu sedang menyaksikan pelbagai pihak dari parti-parti politik berbeza tidak lebih daripada ibarat saling meludah ke langit.
"Pemimpin politik yang ada di Sabah ini asalnya dari satu khemah yang sama dan sudah puluhan tahun mentadbir kerajaan Sabah. Sebahagian mereka pemimpin pusat, sebahagiannya pemimpin negeri.
"Bukan orang lain, mereka (bergaduh) seperti meludah ke langit," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Aliakbar berkata demikian ketika mengulas mengenai masalah di sebalik kemunduran di negeri itu yang berpunca daripada perpecahan dalaman sesebuah parti sehingga membentuk lebih banyak parti yang lain.
Pemimpin PAS Sabah yang dilantik menjadi Adun itu berkata, situasi tersebut berlaku dalam sejarah panjang politik Sabah yang menyaksikan perpecahan parti politik yang kemudian membawa penubuhan satu demi satu parti baru.
Katanya, pemimpin parti utama yang ada kini seperti Mohd Shafie Apdal (Warisan), Hajiji Noor (GRS) dan Bung Moktar Radin (Umno) asalnya pernah berada di bawah khemah yang sama namun saling bermusuhan di pentas politik semasa.

"Dulu ada Upko (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu), kemudian bertukar kepada Usno (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu), selepas itu sebahagian pemimpin Usno tidak berpuas hati mereka keluar parti lalu tubuhkan Berjaya.
"Sebahagian daripada pemimpin dan ahli Berjaya pula keluar tubuhkan PBS (Parti Bersatu Sabah).
"Kemudian bawa masuk Umno-BN yang berkesinambungan selama puluhan tahun.
"Sebagai contohlah, (sekarang) Shafie hentam Hajiji kaw-kaw, Bung Moktar pula hentam Hajiji kaw-kaw (sedangkan) mereka dulu satu khemah yang sama.
"Selama puluhan tahun mereka perintah Sabah dari 1990 hingga 2018 (era BN)," katanya.
Orang Sabah kena ‘celik’
Tambah Aliakbar lagi, setiap kali berlaku perubahan pimpinan atau kerajaan, ia akan membawa kesan terhadap polisi dan dasar semasa kerajaan.
Langkah itu, tambahnya, diberikan pelbagai alasan sebagai justifikasi - misalnya dinilai semula, perubahan projek dan sebagainya.
Sedangkan, dakwanya lagi, ia dibuat kerana ada agenda lain yang mudah difahami, seperti mahu menukar kontraktor sesebuah projek.
"Maka politik gaduh ini sudah lama. Bergaduh antara satu dengan yang lain, maka akhirnya Sabah kekal mundur walaupun kerajaan bertukar-tukar.
"Justeru, kita kena hentikan politik gaduh ini, kena basmi dalam konteks Sabah dan hentikan politik benci-membenci," tegasnya.

Mengulas lanjut perubahan yang perlu digerakkan oleh rakyat Sabah sendiri, Aliakbar, 54, berkata pengundi tidak lagi boleh bergantung kepada parti politik semata-mata sebaliknya perlu membuat penilaian seseorang calon wakil rakyat.
Walaupun tidak menafikan parti mempunyai peranan, dia berpendapat, tidak semestinya orang yang dihantar menjadi calon oleh sesebuah parti itu memang terjami mempunyai kualiti yang diperlukan rakyat.
Pada masa sama ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengakui kadang-kadang pengundi terikat dengan kehendak parti, justeru calon yang dipilih akan tetap dimenangkan walaupun tidak memberikan khidmat yang sepatutnya.
Untuk mengatasi keadaan itu, kata Aliakbar, orang Sabah perlu "celik" dalam membuat penilaian.
"Kena tengok calon yang betul-betul buat kerja di lapangan, bukannya pelakon politik yang hanya timbul waktu pilihan raya dan kemudian hilang.
"Orang politik tidak boleh hilang, perlu sentiasa ada sebab nanti dia akan bertarung lagi dan tidak boleh timbul hanya waktu pilihan raya.
"Nak jadi calon tidak boleh begitu. Kalau tidak, seolah-olah rakyat Sabah diperbodohkan... lama sudah begitu," katanya.
Bagaimanapun Aliakbar mendakwa perkembangan semasa di Sabah memperlihatkan rakyat di negeri itu semakin mempunyai kesedaran terutamanya golongan muda dan pengundi kali pertama.
