Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan terakhir Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun ke atasnya atas kesalahan mendera dan mengabaikan remaja OKU bernama Bella pada 2021.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Azman Abdullah mendapati tiada alasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan kesalahan itu dua tahun lalu, yang turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi tahun lepas.
Para hakim mendapati keputusan terdahulu Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi selaras dengan penemuan fakta.
Membacakan penghakiman, Azman berkata tidak dapat dinafikan yang kecederaan yang dialami Bella, 13, disokong oleh keterangan saksi mata serta bukti oleh pakar perubatan.
“Saksi-saksi menyatakan kecederaan bukan kecederaan yang tidak disengajakan atau yang dilakukan sendiri oleh mangsa, dan ia bukan berpunca daripada satu insiden sahaja, sebaliknya melalui beberapa insiden dalam tempoh masa tertentu.
“Ia dapat dilihat dalam laporan perubatan Bella dan gambar kecederaannya yang dikemukakan sebagai eksibit, yang jelas menunjukkan dia mengalami kecederaan serius pada kedua-dua lengan bawah, luka lama di muka, bahagian kiri leher, belakang badan, paha kanan, dan sebahagiannya berpunca daripada kesan melecur serta lecuran air panas,” katanya.
Panel hakim sebulat suara mendapati tiada kekhilafan dari segi fakta atau undang-undang yang dibuat Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi dalam mengekalkan sabitan terhadap Siti Bainun.
Susulan itu, katanya, sabitan untuk kedua-dua pendakwaan dikekalkan dan rayuan ditolak.
“Pihak pendakwaan telah membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah,” kata Azman.
Panel hakim juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun. Dua lagi hakim yang mendengar rayuan ini adalah Azmi Ariffin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Pasukan pembelaan Siti Bainun, yang merupakan pengasas Rumah Bonda, dalam prosiding hari ini diketuai Mohd Haijan Omar, Nurul Hafidzah Hassan, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, Asyraaf Abu Bakar Hamzah, Tun Laila Tun Rafaee dan Putri Ainaa Amiera Megat Mustaffa Al-Bakri.
Pasukan pendakwaan pula diketuai timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamed, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamarudin, dan Muhammad Hidayat Wahab.
Terdahulu, Mohd Haijan berhujah yang hak Siti Bainun untuk mendapatkan perbicaraan yang saksama telah terjejas selepas dia memberi keterangan membela diri di bawah sumpah tanpa diwakili peguam, selepas kelima-lima peguamnya menarik diri kerana masalah jadual.
Dia juga berkata hak Siti Bainun terjejas apabila hakim meminda pertuduhan daripada Seksyen 31(1) kepada Seksyen 31(1)(a) dalam penghakimannya, sedangkan pindaan itu tidak dibacakan semula kepada tertuduh untuk dia membuat pengakuan.
Bagaimanapun, Nor Azizah berkata Mahkamah Sesyen telah menggunakan budi bicaranya untuk memberikan beberapa penangguhan kepada Siti Bainun bagi membolehkannya melantik peguam baru, dan pindaan tersebut hanyalah pindaan kecil memandangkan elemen di bawah peruntukan itu memang menjadi teras pertuduhan terhadap Siti Bainun sejak dari mula.
Sehubungan itu, panel berpendapat pindaan tersebut bukanlah sesuatu yang boleh menjejaskan hak Siti Bainun atau menyebabkan ketidakadilan terhadapnya.
“Pindaan hanya untuk memasukkan perkataan ‘(a)’ dalam Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak, yang merupakan elemen pertuduhan yang sememangnya telah ada dalam pertuduhan tersebut,” katanya.
Sebelum prosiding rayuan didengar, panel menolak permohonan Siti Bainun untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan terakhirnya, selepas mahkamah mendapati tiada keadaan luar biasa untuk membenarkan permohonan itu.
Dia memohon untuk mengemukakan laporan polis ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf serta keterangan salah seorang saksi utama pendakwaan sebagai bukti baru, yang didakwanya sebahagian daripada laporan polis itu merupakan tuduhan terhadap dirinya yang berkaitan dengan keterangan saksi utama pendakwaan.
Siti Bainun didakwa pada 2021 di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan dan mendera Bella sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi, di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, antara Februari dan Jun 2021.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2023 menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas memutuskan Siti Bainun bersalah mengabaikan Bella, dan hukuman penjara 12 tahun kerana mendera mangsa yang berusia 13 tahun itu.
Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.
Dalam penghakimannya, Izralizam berkata Bella bukan sahaja diabaikan sehingga mengalami kecederaan serius, malah terbukti penjaga sah remaja itu turut terlibat dalam penderaan tersebut.
Dia turut memerintahkan wanita berusia 33 tahun itu menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin dan wang cagaran RM5,000, serta menjalani 200 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas hukuman penjaranya tamat.
Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Siti Bainun.
