Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh bersama anggota sayap itu meneruskan rancangan untuk mengadakan himpunan di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang menjadi pusat kontroversi bendera negara diterbalikkan.

Turut hadir ialah ahli Pemuda Bersatu, DAP dan Lawyers for Liberty (LFL), termasuk pengarahnya Zaid Malek.

Malaysiakini membuat liputan himpunan ini secara langsung.


Akmal seolah sasar kumpulan tertentu - LFL

6.40 petang: Apabila ditanya mengapa Lawyers for Liberty (LFL) memegang plakad yang melabelkan sikap Zionis semasa sidang media, Zaid menjelaskan wakil daripada parti-parti politik utama dan pihak yang berkuasa telah menyasarkan seorang individu yang belum dibuktikan bersalah yang melakukan kesilapan tanpa sengaja, lalu membulinya dengan cara yang diibaratkan sebagai taktik Zionis.

Dia turut berhujah Akmal seolah-olah menyasarkan kumpulan tertentu, sambil menyoal kenapa protes serupa tidak diadakan di tempat seperti Terengganu atau Kementerian Pendidikan.

Perhimpunan bersurai lepas pertelingkahan kecil

6.30 petang: Akmal beredar sebaik sahaja selesai menyanyikan lagu kebangsaan, namun peserta lain enggan bersurai dan menjerit ke arah anggota LFL yang memegang plakad.

Ia menyebabkan polis membentuk penghadang untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu.

Beberapa wakil Pemuda Umno berbincang dengan Zaid, meminta agar dia menasihati ahlinya supaya menurunkan plakad, manakala mereka pula akan menggesa peserta himpunan bersurai.

Akhirnya, ahli LFL bersetuju menurunkan plakad dan para peserta mula meninggalkan kawasan itu selepas jam 6.15 petang.


6.20 petang: Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, menegaskan bahawa tindakan Akmal memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya menangkap dan mendakwa pemilik kedai perkakasan itu adalah perbuatan membuli dan mengganggu secara terang-terangan.

Zaid berkata pemilik kedai melakukan kesilapan yang tidak disengajakan dan bukan dia yang merakam dan memuat naik gambar bendera kebangsaan yang digantung secara salah.


Peserta kini cecah 300 orang

6 petang: Bilangan peserta meningkat melebihi 300 orang ketika mereka mendekati kedai perkakasan tersebut, dengan sebahagiannya menyertai mereka di pertengahan jalan, termasuk Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham.

Kemudian ketika Akmal berucap Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham yang hadir di lokasi tampil berdiri di sisinya.

Kedua-duanya kemudian menyanyikan lagu kebangsaan bersama-sama dengan orang ramai.

Namun, sebaik sahaja selesai menyanyikan lagu tersebut, para penunjuk perasaan menjadi marah apabila ahli LFL mengangkat plakad di hadapan mereka dengan slogan seperti “Tidak Seperti Zionis” dan “Malaysia Tolak Buli.”


5.30 petang: Lebih 100 orang berhimpun di tempat kejadian. Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham, tiba di tempat letak kereta bersama 30 anggota, kebanyakannya berpakaian putih, untuk menyertai kumpulan Pemuda Umno.

Penganjur mengagihkan bendera kebangsaan dan plakad yang mengandungi slogan seperti “Bangkit Pertahankan Maruah Bangsa”, “Pertahan Kedaulatan, Tolak Pengkhianatan”, dan “Cintai Negara Kita dan Hormati Bendera Kebangsaan”.


5 petang: Lebih 70 orang mula berkumpul di kawasan terbuka sebuah pasar malam, kira-kira 1.5 kilometer dari kedai perkakasan tersebut.

Hanya kira-kira separuh daripada mereka memakai baju Pemuda Umno, manakala selebihnya berpakaian biasa, menjadikan sukar untuk dipastikan sama ada terdapat anggota Pemuda Bersatu di kalangan mereka.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS