Ibu kepada pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin membuat permohonan di mahkamah bagi mendapatkan kebenaran untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan bedah siasat kedua dan prosiding inkues terhadap kematiannya.
Ummu Haiman Bee Daulatgun memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, melalui firma guaman Messrs Naran Singh & Co, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, dan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Ibu itu mendakwa terdapat unsur jenayah di sebalik kematian anaknya, terutamanya selepas kecederaan yang jelas terdapat pada mayat mangsa dan alasan yang bercanggah diberikan kepadanya berhubung kematian tersebut.
"Saya sesunguhnya percaya bahawa kematian anak saya adalah disebabkan oleh orang dan/atau orang-orang yang terlibat dalam latihan Palapes di Pulada pada 28 Julai 2025 dan saya juga percaya pelatih-pelatih yang berada bersama anak saya dapat memberi keterangan mengenai apa yang berlaku pada hari itu.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa kecederaan yang terdapat pada mayat anak saya bukanlah kecederaan yang biasa, tetapi adalah disebabkan oleh objek tumpul,”katanya dalam afidavit sokongan.
Ummu berkata seorang jurulatih ROTU bernama Ikhwan memberitahunya bahawa Syamsul Haris mengalami sawan semasa latihan menembak, manakala seorang pegawai ROTU bernama Mejar Azmi berkata terdapat pergaduhan semasa latihan.
Bagaimanapun, katanya, Mejar Azmi tidak menjelaskan siapa yang terlibat dalam pergaduhan itu.

“Tetapi gambar-gambar yang saya rakam jelas menunjukkan pendarahan pada bahagian hidung yang begitu banyak dan tidak berhenti, dan mata kanan yang lebam.
“Saya percaya bahawa ini tidak sama sekali menunjukkan kesan daripada sawan, tetapi menunjukkan kecederaan yang dilakukan oleh orang atau orang-orang tertentu,” katanya.
Lebam dan pendarahan
Ummu, ketika menceritakan semula kejadian kematian anaknya, berkata dia dimaklumkan pada 26 Julai mengenai penyertaan Syamsul Haris dalam latihan ROTU keesokan harinya.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, dia menerima panggilan daripada salah seorang pensyarah UTM yang memaklumkan bahawa anaknya telah meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor.
Dia berkata pada ketika itu punca kematian anaknya tidak dapat ditentukan kerana keputusan makmal masih belum diperoleh.
“Saya sesungguhnya menyatakan bahawa pada waktu itu, saya tidak diberikan kebenaran untuk melihat keseluruhan jasad anak saya yang mana separuh jasad beliau telah ditutupi oleh kain hospital dan dikawal oleh pegawai-pegawai di situ.
“Saya mengesahkan bahawa saya melihat terdapat kesan-kesan lebam dan kecederaan pada jasad anak saya terutama di leher, dada yang berdarah dan muka dan mata kanan yang berlebam hitam,” katanya.
Ummu berkata darah mengalir daripada hidung anaknya dan tidak berhenti sehingga jasad dikebumikan.
Menurutnya pendarahan tersebut jelas menunjukkan anaknya dipukul dan mengalami kecederaan di bahagian otak dan dada.
“Saya sesungguhnya mengatakan bahawa gambar-gambar kecederaan pada anak saya jelas menunjukkan kecederaan yang dilakukan oleh objek tumpul,” katanya.
Sebelum jenazah Syamsul Haris dibawa pulang ke Semenyih untuk dikebumikan, Ummu Haiman mendakwa dimaklumkan bahawa bedah siasat hanya boleh dilakukan oleh pegawai perubatan gred UD10 yang berada di Hospital Pasir Gudang pada waktu itu.
“Oleh yang demikian, saya telah memohon agar anak saya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail agar post mortem boleh dilakukan oleh seorang pakar forensik dan bukannya seorang pegawai perubatan.
“Namun begitu, apabila tiba di Hospital Sultan Ismail, saya berasa terkejut apabila melihat pegawai perubatan yang sama ketika di Hospital Kota Tinggi berada di sana untuk melakukan post mortem tersebut.
“Saya juga telah dimaklumkan oleh pihak Hospital Sultan Ismail bahawa laporan postmortem anak saya hanya akan tersedia dalam tempoh tiga bulan dari tarikh postmortem dijalankan tersebut tanpa dimaklumkan mengapa laporan tersebut akan mengambil masa yang lama untuk disediakan
“Saya juga ingin menyatakan bahawa sehingga kini, saya tidak dan/atau belum menerima sebarang maklum balas mengenai keputusan post-mortem tersebut,” katanya.
Menurut Ummu, Dr George Sixtus Fernandez Jr telah melakukan bedah siasat ke atas mayat Syamsul Haris pada hari tersebut.
Dua hari selepas pengebumian anaknya, Ummu membuat laporan polis di Balai Polis Kajang, meminta polis menyiasat kematian Syamsul Haris dengan teliti, kerana dia percaya anaknya meninggal dunia akibat sebab yang bukan semula jadi.
Mohon perintah mahkamah
Pada 6 Ogos, Ummi berkata peguamnya telah mengemukakan permohonan rasmi, atas permintaannya, agar kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Dalam tuntutannya, Ummu memohon perintah mahkamah untuk menggali kubur secepat mungkin, sementara mayat tersebut masih dalam keadaan sempurna dan terpelihara, serta membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh pakar forensik, dengan kehadiran pakar Dr Bhupinder Singh dan peguamnya Naran Singh.
“Saya memohon mahkamah mengarahkan pakar forensik yang menjalankan post-mortem tersebut mengeluarkan laporan post-mortem dalam tempoh satu bulan dari tarikh postmortem dijalankan dan satu salinan laporan tersebut diberikan kepada peguam pemohon iaitu Tetuan Naran Singh & Co.
“(Saya juga memohon) Satu task force daripada Balai Polis Bukit Aman mengambil alih siasatan ke atas kes kematian anak saya memandangkan ketua pegawai siasat dalam kes ini telah mengeluarkan satu siaran media di mana beliau mengatakan tiada kecederaan berunsur jenayah dikesan dan oleh yang demikian, beliau tidak sesuai untuk meneruskan siasatan kes anak saya.
“Oleh itu, saya memohon supaya satu task force daripada Balai Polis Bukit Aman mengambil alih siasatan kes sepertimana yang dilakukan di dalam kes Zara Qairina Mahathir,” katanya.
Ummu juga memohon relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 13 Ogos, Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata polis telah merakam keterangan daripada 22 individu untuk membantu siasatan kematian Syamsul Haris, dan sedang menunggu laporan bedah siasat penuh.
