Paling Popular
Terkini

Himpunan Turun Anwar yang berlangsung baru-baru ini membuka babak penting dalam politik Malaysia.

Soalnya kini, bagaimana Perikatan Nasional (PN) boleh memanfaatkan gelombang ini menuju pilihan raya umum ke-16 (PRU16)?

Himpunan ini bukan sekadar perhimpunan jalanan. Ia adalah termometer politik yang mengukur suhu kemarahan rakyat terhadap isu-isu semasa antaranya, kesan terhadap kos sara hidup, peningkatan harga barang dan cukai, persepsi terhadap kelemahan kepimpinan dalam menangani ekonomi dan rasa tidak puas hati terhadap integriti kerajaan.

Apabila puluhan ribu orang sanggup turun ke jalan, ia memberi isyarat bahawa mood rakyat sedang berada di titik kritikal.

PN mungkin tidak perlu menjadi pencatur dalam mana-mana rapat umum, sebaliknya boleh berperanan untuk menyokong dan membantu dalam apa jua bentuk sumber, kepada kumpulan masyarakat (NGO) untuk ke depan.

Ini penting agar setiap gerakan dilihat sebagai gerakan rakyat, bukan gerakan parti politik yang boleh mengundang ketidakselesaan kumpulan atas pagar yang cukup besar bilangannya.

Malah, PN seharusnya berperanan menjadi gema suara rakyat dengan mengangkat kepedulian mereka di pentas parlimen. PN boleh memposisikan diri sebagai pihak yang mendengar dan bertindak atas rintihan rakyat.

Dengan cara ini, PN mendapat manfaat politik tanpa dilabel ‘menunggang rakyat’ untuk tujuan politik kepartian.

Mana-mana himpunan akan membangkitkan emosi; marah, kecewa, rasa dikhianati. Emosi ini perlu segera dipindahkan ke kempen politik berskala lebih luas dan tersusun.

PN boleh memulakan jelajah isu kos sara hidup di negeri-negeri sasaran seperti Johor, Selangor, Perak, dan Sabah. Bahan kempen visual dari himpunan digunakan dalam kempen digital bagi memberi kesan emosi berpanjangan.

Dengan susunan kerja yang lebih berstrategi, PN akan dilihat lebih proaktif, bukan semata-mata dilihat terlalu menunggang kemarahan dan kekecewaan rakyat tanpa solusi konkrit.

Solusi dalam politik mestilah memfokus kepada memperluas sokongan daripada segmen pengundi bandar dan belia yang kecewa dengan kerajaan. PN perlu menjadi simbol alternatif yang bukan sahaja membangkang, tetapi bersedia memerintah.

Himpunan Turun Anwar adalah titik mula, bukan penamat. Ia memberi PN bahan bakar politik yang kuat. Ini boleh menjadi momentum kuat apabila digabungkan dengan strategi dan naratif yang konsisten, kempen akar umbi yang berterusan, serta tawaran solusi yang realistik.

PRU16 bukan sekadar tentang siapa yang lebih lantang bersuara, tetapi siapa yang mampu menukar suara rakyat menjadi mandat untuk memerintah. Bagi PN, selepas himpunan ini, soalan paling penting bukan “apa yang rakyat marah?”, tetapi “apa yang PN akan lakukan seterusnya”.


MAHDZIR IBRAHIM ialah anggota Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS