Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda DAP P Pinang gesa pimpinan putus kerjasama politik dengan Akmal
Diterbitkan:  Aug 15, 2025 10:38 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Pemuda DAP Pulau Pinang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Akmal Saleh susulan tindakan ketua pemuda Umno itu yang didakwa bersifat provokasi.

“Gelagat Akmal Saleh, Ketua Pemuda Umno yang semakin melampau dalam kaedah berpolitiknya kini menjadi ancaman nyata kepada keharmonian nasional dan kedaulatan undang-undang.

“DAPSY Pulau Pinang menegaskan bahawa perbuatan sebegini tidak boleh dimaafkan dan menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan untuk memutuskan semua bentuk hubungan kerjasama politik dengan Akmal Saleh khususnya dalam PRU yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Akmal mengetuai protes di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, selepas pemilik premis itu dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.

Selepas insiden itu tular di media sosial, pemilik kedai, Pang Chin Tian, mendakwa dia sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera negara dan tidak sedar bendera itu dipasang terbalik.

Pang kemudiannya disiasat dan ditahan oleh pihak polis.

Namun Isnin lalu, Akmal mengancam akan hadir ke kedai tersebut untuk “mengajar” Pang cara memasang bendera dengan betul sekiranya pihak berkuasa tidak mendakwa lelaki itu dalam tempoh dua hari.

Menurut Pemuda DAP Pulau Pinang, tindakan Akmal merupakan pencabulan serius terhadap kedaulatan undang-undang negara.

“Perbuatan sebegini bukan sahaja bertentangan dengan pendirian Kerajaan Perpaduan yang meraikan kepelbagaian, malah secara sengaja merancakkan sentimen perkauman, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan untuk menjaga kestabilan negara,” katanya.

Tegasnya, Akmal sering melaungkan slogan “patriotisme”, namun sebenarnya ahli politik Umno itu memperalatkan isu tersebut sebagai modal politik murahan untuk kepentingan politik sendiri.

"Tindakan samseng Akmal Saleh telah mengancam ketenteraman masyarakat dan kebebasan berniaga rakyat.

“DAPSY Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa apabila ahli politik dibenarkan bertindak di luar kerangka undang-undang sambil terus menghasut kebencian kaum, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang menakutkan rakyatnya sendiri.

“Tingkah laku Akmal Saleh jelas memperlihatkan sikap angkuh dan tidak menghormati kedaulatan undang-undang, sekali gus menjadikannya sebagai “barah” dalam politik negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS