Ketika Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggambarkan protesnya di luar sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang sebagai tindakan patriotik, Zaid Ibrahim pula mempunyai pandangan berbeza.
Bekas menteri undang-undang itu menyifatkannya sebagai “gelombang terbaru sentimen anti-Cina daripada Pemuda Umno” dan satu “kemarahan yang direka-reka”.
Dia turut mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana gagal “bertegas dan menetapkan sempadan”, sambil mengingatkan gabungan PH yang dipimpinnya memperoleh sokongan hasil undi bukan Melayu.
“Sebaliknya, dia (Anwar) kelihatan lumpuh, seolah-olah terlupa bahawa undi Cina yang membawanya ke Putrajaya,” tulisnya di X pagi ini.

Menurut Zaid, Anwar kelihatan mengelak isu kontroversi nasional.
“Salah satu ciri ketara perdana menteri kita ialah keengganannya untuk terlibat dalam kontroversi nasional.
"Dia memilih kenyataan-kenyataan selamat atau langsung tidak memberi reaksi. Dalam hal (protes bendera) ini, dia amat mengecewakan,” katanya lagi.
Zaid turut menyindir reaksi “parti-parti Cina dalam kerajaan” yang menurutnya terus menahan diri daripada bertindak balas terhadap penghinaan dan provokasi berulang kali daripada Pemuda Umno dengan sikap "membisu.“

“Namun, mereka pantas melenting terhadap retorik agama PAS. Kepekaan selektif ini menunjukkan keutamaan yang songsang.
“Jika benar perpaduan menjadi matlamat, maka racun permusuhan perkauman sepatutnya diberi keutamaan yang sama, malah lebih mendesak,” ujarnya.
DAP dan MCA mengecam tindakan serta rancangan demonstrasi Akmal, tetapi DAP memilih untuk tidak menganjurkan perhimpunan balas selepas polis menasihati semua pihak agar berlapang dada.
Dalam hantaran media sosialnya, Zaid melabelkan Akmal sebagai “ahli golongan elit yang tidak boleh disentuh”, mengelompokkannya bersama ahli politik Sabah yang dikaitkan dengan skandal perlombongan serta pendakwah kontroversi Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.

Bekas menteri itu turut memuji Lawyers for Liberty (LFL) dan pengarah eksekutifnya Zaid Malek kerana mempertahankan kedai tersebut ketika protes berlangsung.
“Mujurlah kita ada LFL sebagai satu-satunya suara waras, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh sikap membisu perdana menteri kita,” tambahnya.
Bercakap kepada Malaysiakini, bekas menteri itu berkata “patriotisme” Akmal datang dengan mengorbankan kewarasan, sesuatu yang berbahaya kepada hubungan kaum.
“Kesilapan bendera yang membabitkan Kementerian Pendidikan dan juga Pemuda Umno Terengganu membuktikan kesilapan boleh berlaku.

"Tetapi apabila ahli politik seperti Akmal memutarbelitkan kecuaian menjadi naratif sabotaj perkauman, ketika itulah ia menjadi berbahaya.
“Ada sesiapa bertanya mengapa seorang peniaga Cina sanggup mempertaruhkan mata pencariannya dengan sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik?
"Kalau ada pun, Pemuda Umno telah memberi publisiti percuma kepada kedainya.
“Ini bukan cara seorang ahli politik ‘patriotik’ bertindak. Ini cara seorang oportunis,” tegasnya.
