Pemuda DAP (Dapsy) seluruh negara diarah memfailkan laporan polis terhadap ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh susulan tunjuk perasaan membantah pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas, semalam.
Setiausaha agung DAP, Anthony Loke yang mengeluarkan arahan atas alasan tindakan Akmal untuk menggunakan “ugutan dan buli” tidak menyelesaikan ketegangan.
Loke berkata laporan polis akan dibuat bawah beberapa peruntukan Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 503 mengenai ugutan jenayah, Seksyen 504 (membuat kenyataan menghina dengan niat mencetuskan ketenteraman awam) dan Seksyen 505 (kenyataan yang membawa kepada khianat awam).
Dia menambah laporan juga akan dibuat bawah undang-undang anti-buli yang baru diperkenalkan bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 507B untuk gangguan dan menyebabkan mangsa tertekan, takut dan cemas, serta Seksyen 507C (mengucapkan perkataan dengan kesan yang sama).
“Tindakan Akmal tidak mengendahkan amaran pihak polis juga adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam yang menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.
“Perbuatan seperti ini adalah melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” katanya.

Loke bagaimanapun mengingatkan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan.
“Akan tetapi, perbuatan yang mengugut dan membuli, serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.
Pagi ini, Dapsy Pulau Pinang menggesa pimpinan PH memutuskan segala bentuk kerjasama politik dengan Akmal, terutamanya pada pilihan raya umum akan datang, kerana tindakan anggota Dewan Undangan Negeri Merlimau itu "tidak boleh dimaafkan".
Semalam, Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim berkata anggota dan penyokong parti itu tidak digerakkan untuk tunjuk perasaan itu, selaras dengan gesaan Ketua Polis Negeri Azizee Ismail supaya semua pihak bersabar dan mengelak tindakan yang boleh menyebabkan ketegangan.

Sim juga menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap Akmal, menyifatkan tingkah lakunya sebagai tindakan mencabar arahan polis, melanggar undang-undang dan provokasi sengaja yang mengancam ketenteraman awam.
Terdahulu, Akmal mengetuai sekumpulan anggota Pemuda Umno berkumpul di hadapan sebuah kedai perkakasan yang terlibat dalam kejadian bendera kebangsaan dikibar terbalik.
Walaupun polis sebelum itu mengesahkan siasatan terhadap kesilapan bendera itu, kira-kira 300 penunjuk perasaan - termasuk anggota Pemuda Bersatu - menyertai perhimpunan Akmal sebagai sokongan kepada kecamannya terhadap pemilik kedai itu, Pang Chin Tian.
Pemimpin kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), termasuk pengarahnya Zaid Malek, juga hadir untuk mempertahankan kedai itu.
