Keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mahu lima remaja yang didakwa membuli pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah agama itu didakwa dengan pertuduhan yang lebih serius.
Pasukan peguam yang mewakili mereka memberitahu, hasrat berkenaan sudah disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan meminta agar ia dipertimbangkan.
Keenam-enam peguam terbabit percaya AGC perlu menggunakan Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan untuk mendakwa lima pelajar terbabit esok, dan bukannya seksyen 507C(1) akta ang sama.
“Kami memohon agar Peguam Negara (Mohd Dusuki Mokhtar) dapat mempertimbangkan agar semua remaja berkenaan dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen 507D(2), kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika,” kata pasukan peguam terbabit.
Namun, tambah mereka, jika keterangan yang ada dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa remaja terbabit bagi kesalahan yang lebih berat dari seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, mereka merayu agar tertuduh didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu.
“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah esok – atau tarikh berikutnya – dan apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar double jeopardy yang termaktub di dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika seseorang itu disabitkan kesalahan yang melibatkan mangsa cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi yang dilakukan.

Hukuman bagi kesalahan disabitkan mengikut 507C(1) Kanun Keseksaan pula ialah penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Semalam Mohd Dusuki mengesahkan lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok berhubung kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir.
Menurutnya, remaja terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.
Terdahulu, AGC memaklumkan mereka telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.
"Keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan dijalankan," katanya.
AGC memaklumkan tindakan menuduh suspek juga tidak akan menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh PDRM.
Pasukan peguma itu berkata mereka sudah menulis surat kepada Mohd Dusuki melalui e-mel pagi tadi.
