Dengan beberapa remaja dijadualkan didakwa atas tuduhan membuli Zara Qairina Mahathir, Suhakam menggesa orang ramai dan media supaya membiarkan proses keadilan berjalan mengikut undang-undang, sambil menghormati hak kanak-kanak.
Sambil menegaskan bahawa buli tidak boleh diterima, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) menyatakan remaja yang disyaki itu berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), yang merangkumi sokongan berasaskan trauma, khidmat guaman dan layanan yang adil.
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Tiada nama, foto, sekolah atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman mereka harus didedahkan kepada umum.
“Seksyen 15 akta yang sama menjadikan satu kesalahan boleh dihukum jika menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
“Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya,” katanya hari ini.

Suhakam turut menyatakan bahawa mahkamah kanak-kanak ialah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta Kanak-Kanak, dengan hanya pihak yang terlibat secara langsung dibenarkan hadir.
Semalam, Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengesahkan bahawa lima remaja akan didakwa di Mahkamah Juvana Kota Kinabalu pada 20 Ogos atas tuduhan membuli Zara.
“Ya, semua yang akan didakwa adalah bawah umur 18 tahun,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Dusuki turut dilaporkan berkata remaja yang terlibat akan dituduh di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengancam, menghina atau menyakitkan hati.
‘Kemas kini dasar anda’
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa beberapa suspek yang disyaki terlibat akan dituduh dalam kes tersebut.
Sehubungan itu, Suhakam menggesa platform media sosial mengemas kini dasar dalaman dan piawaian komuniti mereka bagi memastikan kandungan yang melanggar Akta Kanak-Kanak dapat ditandai dan dipadam secara proaktif.
Ia menegaskan bahawa menunggu permintaan pemadaman mungkin membenarkan kandungan berbahaya tular, sekali gus menjejaskan niat perlindungan undang-undang.
“Kegagalan bertindak berisiko membawa lebih banyak mudarat kepada kanak-kanak dan mungkin dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang.”
Kemarahan awam
Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai.

Dia dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai “kematian mengejut” dan tidak melakukan bedah siasat selepas ibunya menandatangani surat persetujuan menolaknya, yang kini disiasat kerana melanggar protokol polis.
Beberapa perhimpunan solidariti telah diadakan sejak kejadian itu, menuntut keadilan atas kematiannya yang disyaki melibatkan unsur jenayah.
Mahkamah Koroner telah menetapkan 3 September untuk memulakan prosiding inkues berhubung kematian Zara.
