Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masyarakat India tidak terpinggir dalam usaha kerajaan Madani menoktahkan kemiskinan tegar.
Anwar berkata, kerajaan kini menumpukan usaha menoktahkan kemiskinan tegar merangkumi semua kaum di negara ini.
"Ini seolah-olah (tuduh) peminggiran masyarakat India. Ini yang saya tak setuju. Betul, saya sebut di Parlimen ini jumlah miskin Melayu bumiputera itu terlalu tinggi, majoriti penduduk negara ini Melayu.
"Yang miskin majoritinya Melayu, program (basmi kemiskinan) jauh lebih tinggi untuk masyarakat Melayu, tetapi untuk masyarakat India walaupun jumlah penduduk kecil, jumlah miskin kecil ketimbang penduduk Melayu, ada penduduk India yang relatif lebih miskin.
"Sebab itu bagi pemusatan program menoktahkan kemiskinan perlu ditingkatkan meskipun ada yang sinis, kita mesti menoktahkan kemiskinan tegar, nak beli susu anak tak cukup, baju sekolah (anak) tiada," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Parlimen pagi ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ganabatirau Veraman (PH-Klang) berhubung kemiskinan dalam kalangan masyarakat India.
Katanya, masyarakat India mengharapkan satu dasar dan peruntukan yang jelas bagi membantu kumpulan berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata dia tidak pernah menyebut untuk menoktahkan kemiskinan seperti didakwa pihak pembangkang.
"Saya tak pernah sebut noktahkan kemiskinan, saya sebut noktahkan kemiskinan tegar, dengar betul-betul yang itu kita mampu, nak sindir buat apa.
"Kemiskinan itu relatif, kemiskinan tegar kita boleh bagi jadual (angka) yang tepat, makan, minum, perumahan, pakaian, pengangkutan, itu ada rekod dia," katanya lagi.
Anwar memberi jaminan kepada masyarakat India bahawa dasar kerajaan jelas tidak meminggirkan kumpulan itu.
Terdahulu, menjawab soalan utama S Kesavan (PH-Sungai Siput), Anwar berkata peruntukan dan bantuan untuk masyarakat India disalurkan secara menyeluruh melalui pelbagai kementerian dan bukan hanya tertumpu di bawah Mitra.
Dia berkata terdapat program lain dengan peruntukan yang besar di bawah pelbagai kementerian yang memberi manfaat kepada masyarakat dalam bidang seperti pendidikan, perumahan dan perniagaan, selain peruntukan tahunan khusus RM100 juta untuk Mitra.
Sebagai contoh, bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk masyarakat India berjumlah setengah bilion ringgit pada 2022, manakala untuk 2025 mencecah RM1 bilion, katanya.
Selain itu, Skim Jaminan Kredit Perumahan bernilai RM1.2 bilion telah disediakan untuk komuniti itu.
“Pada 2024, daripada RM100 juta di MITRA, RM98.9 juta telah dibelanjakan dengan memberi manfaat kepada 122,082 masyarakat India.
“Bantuan berikutnya, subsidi pendidikan awal RM93 juta, bantuan pengajian tinggi untuk masyarakat India B40 (RM17.63 juta), bantuan komputer riba untuk SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) sebanyak RM2.99 juta melibatkan 6,000 unit komputer secara berperingkat.
“Justeru, pandangan yang mengatakan kerajaan seolah-olah (kaum India) tidak diperdulikan, peruntukan untuk MITRA tidak diluluskan dengan segera, adalah tidak benar,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata bagi 2025, kerajaan mengambil pendekatan berbeza dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat, dengan penyelarasan yang lebih baik melibatkan setiap kementerian dan Mitra.
Sebagai contoh, dalam kes projek perumahan untuk masyarakat India di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dia berkata dana tambahan daripada Mitra akan diselaraskan untuk menampung kekurangan.
“Jadi kalau KPKT belanja RM20 juta, tambah RM5 juta (dana Mitra) untuk diselaraskan, bantuan peralatan makmal ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di 50 SJKT dapat RM5 juta daripada Kementerian Pendidikan dan sebahagian dari Mitra.
“Sebanyak 200 rumah ibadat Hindu ataupun kuil Hindu berdaftar sebagai Pusat Komuniti Setempat seluruh negara dengan peruntukan RM20 juta, selain bantuan one-off pembaikan dan penyelenggaraan kecil rumah kediaman Pekerja Ladang India RM10 juta dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya.
“Jadi, jika KPKT membelanjakan RM20 juta, tambahan RM5 juta (daripada dana MITRA) akan diselaraskan, bantuan peralatan makmal ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di 50 SJKT menerima RM5 juta daripada Kementerian Pendidikan dan sebahagiannya daripada Mitra,” katanya.
Tambahan pula, Anwar juga berkata sebanyak 200 tempat ibadat Hindu atau kuil Hindu yang berdaftar sebagai Pusat Komuniti Tempatan di seluruh negara telah diperuntukkan RM20 juta, selain peruntukan RM10 juta aripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk pembaikan kecil dan penyelenggaraan kediaman pekerja estet India.
*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Hariz Mohd, Haspaizi Zain
