Perbicaraan kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng yang bersambung hari ini ditangguhkan ke 27 dan 28 Ogos, selepas saksi utama pendakwaan G Gnanaraja memberitahu mahkamah bahawa dirinya trauma dan perlu mendapatkan perlindungan sebelum meneruskan keterangannya.
Gnanaraja, yang merupakan saksi ke-37 pendakwaan, diserang di rumahnya pada 6 Ogos. Menurut laporan, dia diugut dan pergelangan tangan kirinya ditetak.
“Saya minta maaf (kepada mahkamah).. Saya bukan kata tidak mahu beri keterangan, saya mahu bekerjasama dengan mahkamah tetapi saya mahu minta bantuan polis atau mana-mana pihak demi keselamatan saya, kerana apa yang saya lalui.
“(Saya ditetak dan menerima) jahitan di tangan. Saya dalam keadaan trauma.
“Saya tidak okay untuk memberi keterangan kerana saya rasa keselamatan saya terancam, (kerana) apa-apa boleh berlaku kepada saya,” katanya.
Lim sedang dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau dengan tanah besar.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk mendapatkan rasuah wang tunai sebanyak RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik Consortium Zenith Construction Sdn Bhd melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702.
Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan syarikat daripada bekas pengarahnya, Zarul Ahmad Zulkifli, sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu memperoleh projek tersebut.
Dia juga berdepan dua lagi pertuduhan kerana dengan tidak jujur melupuskan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang, bernilai RM208 juta, kepada pemaju projek terowong tersebut.
