Bekas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata tidak sepatutnya ada halangan besar terhadap usaha pihak polis dalam mengesan anak perempuan M Indira Gandhi yang diculik.
Bercakap dalam satu acara di Allianz Centre for Governance (ACG) di Kuala Lumpur hari ini, Tengku Maimun berkata polis telah menunjukkan tahap kecekapannya dalam mengendalikan kes-kes lain.
Secara khusus, dia merujuk kejayaan polis menahan pelaku dalam kes pembunuhan ahli perniagaan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya pada 2013 serta pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Dalam kes Sosilawati, mayatnya dan para pembantunya dibakar hingga jadi abu sebelum dibuang ke sungai serta lokasi berdekatan di Banting, manakala mayat Altantuya pula diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor.
“Dalam kes-kes ini, polis sangat cekap (apabila) berjaya mengesan pelaku, membawa kepada pendakwaan di mahkamah.
“Secara peribadi, saya rasa tiada halangan yang besar untuk polis mengesan anak (Indira), tetapi saya betul-betul tak tahu apa sebabnya, sehingga sekarang, anak itu masih tidak dikesan dan dipulangkan kepada ibunya,” kata Tengku Maimun.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu “melangkaui” bidang kehakiman dan menekankan polis ada tanggungjawab untuk melaksanakan perintah pemulangan dan hak penjagaan serta waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah terhadap bekas suami Indira, Riduan Abdullah.
“Malangnya, saya tidak dapat menjawab sama ada perkara ini disengajakan atau tidak,” katanya dalam sesi perbincangan di forum ACG bertajuk “The Sanctity of Malaysia’s Federal Constitution: Threats, Solutions, and Impact on National Governance”.
Turut menjadi ahli panel hari ini ialah pengarah Allianz Malaysia Bhd Zainun Ali, pengarah ACG Zaharom Nain, timbalan pengarah ACG merangkap felo penyelidik utama Syarifah Munirah Alatas, serta bekas presiden Hakam Abdul Rashid Ismail.
Tengku Maimun sebelum ini menegaskan pihak berkuasa didakwa gagal menguatkuasakan keputusan mahkamah yang memihak kepada Indira kerana tersalah anggap yang Islam memerlukan perlindungan khas.
Pada 2009, bekas suami Indira secara sepihak menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kepada Indira.
Pada 2014, Tengku Maimun sebagai hakim minoriti dalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak keputusan yang membatalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya ketua polis negara mendapatkan semula anak bongsu Indira, Prasana Diksa.
Dua tahun kemudian, Mahkamah Persekutuan mengesahkan penghakiman minoriti Tengku Maimun, dengan mahkamah tertinggi itu mengarahkan polis menangkap Riduan dan mendapatkan semula Prasana.
Pada 11 Ogos 2025, Mahkamah Rayuan dimaklumkan yang polis tiada kewajiban berjaga-jaga (duty of care) terhadap Indira dalam usaha mengesan Riduan dan Prasana.
Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb, memberitahu panel hakim bahawa tanggungjawab pihak polis hanya terpakai kepada mereka yang berada dalam tahanan.
Namun, peguam Indira, Rajesh Nagarajan berhujah bahawa pihak berkuasa, khususnya polis, memikul tanggungjawab itu terhadap semua rakyat Malaysia.
