Sebanyak 100,646 pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan gagal dikesan selepas program pemutihan pekerja asing dilaksanakan Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB), menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata justeru, kerajaan akan melaksanakan langkah serta tindakan punitif terhadap majikan dan pekerja asing sektor pembinaan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan sedia ada.
“Mereka masuk, mereka pegang PLKS sektor pembinaan, tetapi apabila dibuat pemutihan oleh CLAB, kita tidak dapat kesan. Kalau mereka salah guna pas, kita akan ambil tindakan ikut kesalahan itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Keempat Belas, Bilangan 2 Tahun 2025 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, perkara itu didedahkan susulan pembentangan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam mesyuarat berkenaan.
“Kalau pas mereka sudah tamat, mereka sepatutnya menandatangani memo check out dan meninggalkan negara. Kalau mereka tidak meninggalkan negara, kita akan jejaki mereka,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan menggesa pihak majikan supaya tidak bergantung sepenuhnya pada penggajian pekerja asing, sebaliknya disarankan untuk memberikan keutamaan kepada bakat tempatan.
KESUMA turut menyarankan majikan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan dasar penggajian pekerja asing yang telah ditetapkan agar tidak timbul lagi isu pekerja asing tidak diberi pekerjaan, tidak dibayar gaji atau dianiaya.
“KESUMA tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang menindas pekerja dan tindakan keras akan diambil,” menurut kenyataan itu.
- Bernama
