Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini meminta Kementerian Komunikasi menjelaskan kepada orang ramai mengapa media tidak dibenarkan mendedahkan nama lima remaja yang didakwa di mahkamah atas kes buli terhadap pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Bercakap di Dewan Rakyat, Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata dia bimbang kerana terdapat netizen yang tidak memahami mengapa nama suspek tidak boleh didedahkan kepada orang awam.
Dia berkata kes membabitkan Zara Qairina menimbulkan kemarahan rakyat dan menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap kerajaan.
"Bolehkah YB buat makluman bahawa nama tak boleh didedahkan sebab ini kes juvana, tapi rakyat kurang faham. Masing-masing, rakyat di bawah ini mereka percaya dengan media sosial.
"Jadi ia tanggungjawab kementerian ini memberi maklumat bahawa memang dalam peraturan negara kita tak izinkan pendedahan nama, supaya mereka (orang ramai) maklum dan faham,” kata Bung ketika mencelah ucapan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengenai Rancangan Malaysia Ke-13.

Menjawab perkara itu, Fahmi berkata Akta Kanak-Kanak 2001 melarang media mendedahkan nama, imej, atau sebarang maklumat mengenai suspek kanak-kanak yang boleh membawa kepada pengecaman mereka.
"Akta kanak-Kanak 2001, Seksyen 15 sangat jelas nyatakan ada sekatan-sekatan yang dilaksanakan bila kes libatkan kanak-kanak, bukan libatkan arahan mana-mana, memang akta terpakai," katanya.
Fahmi berkata, kementerian itu juga menyedari terdapat trend di mana netizen cenderung mempercayai apa sahaja yang didakwa di media sosial.
Sebagai contoh, katanya. ramai percaya dakwaan seorang lelaki yang mengatakan Zara dimasukkan dalam mesin basuh sebelum meninggal dunia.
Katanya lelaki berkenaan juga mengaku sebagai pakar patologi, menyebabkan ramai orang percaya kepada dakwaan itu.
"Tapi bila semak dengan KKM dia bukan doktor pun, kita dimaklumkan (lelaki itu) ada sejarah scam,” kata Fahmi.
Sementara itu, Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mencadangkan kementerian memperluaskan inisiatif ‘Biar Betul’ untuk menangani berita palsu.
Dia mencadangkan menteri breeknaan mempertimbangkan untuk menyiarkan segmen harian Biar Betul di stesen TV dan radio di mana kementerian boleh memberikan penjelasan sesuatu isu kepada orang ramai.
Menjawab cadangan itu, Fahmi berkata walaupun dia bersetuju dengan idea Taufiq, dia berpendapat inisiatif sebegitu sebaiknya melibatkan platform media sosial.
Ini kerana katanya ramai netizen kini lebih banyak menghabiskan masa di platform seperti TikTok.
“Mungkin kena jemput platform-platform untuk promosikan Biar Betul,” katanya.
