Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak akan ganti Kedah sebagai jelapang padi menjelang 2030

PARLIMEN | Sarawak dijangka akan mengambil alih peranan Kedah sebagai jelapang padi utama negara menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup berkata usaha itu sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab keterjaminan makanan negara.

Katanya, ia sejajar dengan Pelan Pembangunan Pasca-Covid 19 Sarawak (PCDS 2030) dan sehingga berakhirnya Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-25.

“Komitmen itu akan diterjemah menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di mana kerajaan pusat telah menggariskan tiga strategi utama bagi sektor agromakanan iaitu mempertingkatkan pengeluaran makanan, memantapkan keterjaminan bekalan makanan dan memperkukuh rantaian bekalan makanan.

“Bagi memacu agenda menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi terbesar negara menjelang 2030, tumpuan diberikan kepada pelaksanaan dan penyiapan sepuluh projek pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur pengairan dan saliran telah dirancang dengan kos RM271.89 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Arthur berkata demikian menjawab soalan Anggota Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berhubung perancangan kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab keterjaminan makanan atau Zon Tumpuan Keterjaminan Makanan dalam dasar lima tahun.

Menurutnya, tambahan RM157.8 juta lagi dipohon bawah RMK13 untuk menyelesaikan baki projek berkenaan.

Tambah Arthur, tiga projek baru turut dicadangkan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) Samarahan, Bijat-Stumbin (Sri Aman), dan Daro Padi (Mukah), dengan peruntukan RM88.3 juta. 

"Langkah ini dijangka meningkatkan hasil padi secara signifikan serta menyeimbangkan pembangunan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

Mengulas lanjut, selain padi, Arthur berkata kementerian turut menumpukan kepada tanaman strategik seperti jagung bijian, bawang dan kopi, yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada import. 

Tiga projek berkaitan tanaman ini akan dilaksanakan di Sarawak dengan nilai RM10.21 juta sepanjang tempoh RMK13.

Sasaran kerajaan adalah untuk mencapai 30 peratus pengeluaran tempatan jagung bijian menjelang 2040 dan bawang menjelang 2030.

“Selain itu, industri nanas turut diberi suntikan baru di bawah Projek Pemodenan dan Pemerkasaan Industri Nanas Berimpak Tinggi Malaysia Timur. 

“Melalui projek ini, rakyat Sarawak berpeluang menyertai keseluruhan rantaian nilai nanas, daripada pengeluaran, pemasaran, pembangunan produk hiliran, pemanfaatan sisa, sehinggalah mekanisasi dan automasi, bagi meningkatkan produktiviti serta menjadikan industri ini lebih berdaya saing.

“Bagi sektor perikanan di Sarawak, tumpuan utama diberikan kepada pengukuhan bekalan benih dan makanan ikan melalui skim buy-back (pembelian semula) benih ikan rakyat serta sokongan kepada pengeluar makanan ikan tempatan bagi mengurangkan kos operasi penternak. 

“Selain itu, infrastruktur asas seperti jalan ladang, bekalan elektrik dan air, serta subsidi bahan bakar kepada pengusaha berdaftar turut dipertingkatkan bagi menyokong pertumbuhan industri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS