Sebuah unit JPMorganChase di Switzerland dikenakan denda tiga juta franc Swiss (RM15.7 juta) kerana peranannya dalam skandal 1MDB.
Pada masa sama Putrajaya mengumumkan bahawa mereka mencapai penyelesaian bernilai RM1.4 bilion untuk melunaskan semua perkara tertunggak lain berkaitan skandal itu dengan firma terbabit.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkata mereka mendapati JP Morgan (Switzerland) Ltd gagal menjelaskan dengan secukupnya sifat hubungan perniagaan di antara dua pengurusnya dan kumpulan Petrosaudi, selain tidak mempunyai pertimbangan yang munasabah dan kritikal.
Menurut badan itu, tindakan tersebut dibuat walaupun sudah terdapat dakwaan bahawa dua pengurus itu dan Petrosaudi berpotensi terlibat dalam penipuan 1MDB.
“Urus niaga yang dijalankan antara 7 Okt 2014 dan 21 Julai 2015 dimungkinkan oleh kegagalan organisasi di JP Morgan Suisse yang tidak menghalang pelakuan kesalahan pengubahan wang haram,” kata OAG.
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pula berkata JPMorganChase akan menyumbang RM1.4 bilion kepada Akaun Amanah Pemulihan Aset "tanpa pengakuan liabiliti".
Kata MOF Kedua-dua pihak juga akan menarik balik semua rayuan yang belum selesai berkaitan dengan tuntutan mahkamah 1MDB terhadap JP Morgan (Switzerland) Ltd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Perjanjian penyelesaian melunaskan semua tuntutan sedia ada dan potensi tuntutan serta mengikat kedua-dua pihak daripada sebarang tuntutan atau litigasi masa depan berkaitan 1MDB,” kata kenyataan itu.
Menurut OAG, denda tiga juta franc Swiss mengambil kira "masa berlalu sejak kesalahan itu dilakukan, serta kerjasama yang sangat baik JP Morgan Suisse dalam prosiding dan pampasan pihak menuntut swasta (1MDB)".
Memandangkan 1MDB diberi pampasan RM1.4 bilion, ia telah memutuskan untuk tidak memfailkan tuntutan pampasan.
1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd, memfailkan beberapa siri saman terhadap pelbagai firma dan individu yang didakwa menipunya, termasuk terhadap JP Morgan (Switzerland) Ltd.
Ia meminta sekitar AS$23 bilion (RM94.4 bilion) daripada responden.
Bagaimanapun, sebahagian daripada 22 tindakan undang-undang tersebut - seperti saman sivil SRC International terhadap bekas pengerusinya, Ismee Ismail dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi – telah digugurkan.
Awal tahun ini, 1MDB dilaporkan menarik balik saman berasingan bernilai AS$248 juta terhadap anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, dan syarikatnya, Red Granite dalam usaha dianggap "penyelesaian global" bagi mendapatkan semula wang berkenaan.
