Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Jangan guna isu bendera timbulkan perpecahan kaum
Diterbitkan:  Aug 23, 2025 3:56 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan isu mengenai bendera negara sebagai alasan untuk mencetuskan perpecahan kaum.

Anwar berkata walaupun Jalur Gemilang perlu dihormati sebagai lambang kedaulatan, ia tidak seharusnya dieksploitasi untuk mencetuskan ketegangan kaum.

"Jadi kadang-kadang bila kita aman, kita buat andaian sahaja. Ajak orang bergaduh, mahu bergaduh soal bendera, semua mahu gaduh dan ada yang menghangatkan suhu perpecahan antara kaum,” katanya dipetik Astro Awani.

Tambahnya, walaupun salah laku yang melibatkan bendera mesti ditangani, ia harus ditangani dengan sewajarnya.

“Jangan salah faham, saya tidak kata bendera itu tidak penting, bendera itu tanda lambang kebanggaan negara jadi kena jaga.

“Kalau dulu silap-silap boleh kita maafkan tapi sekarang kalau ada lagi yang nampak lihat begitu, sama ada di jabatan kerajaan atau swasta, harus ada tindakan tetapi saya mahu sebutkan, jangan buat andaian semua ini baik, tidak betul,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh disiasat pihak berkuasa berikutan perhimpunan berkaitan bantahan terhadap pemilik kedai di Pulau Pinang yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Adun Merlimau itu menegaskan perhimpunan itu diadakan secara aman dan bertujuan untuk menghantar mesej jelas bahawa rakyat Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sikap tidak hormat terhadap lambang negara.

Akmal sejak itu didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung video yang didakwa mengandungi kenyataan melampau, yang dikatakan menekan pihak pendakwa untuk memulakan pertuduhan.

Pemimpin Umno itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan rakyat Malaysia bahawa keamanan adalah hasil pengorbanan pasukan keselamatan, menekankan keperluan untuk terus bersiap siaga terhadap ketidakstabilan serantau.

“Negara ini aman kerana persiapan, perkhidmatan, pengorbanan, pasukan pertahanan kita selama ini, tapi ia tidak akan kekal lama.

“Siapa jangka ada peperangan Thailand-Kemboja, siapa sangka pergaduhan di Myanmar berlarutan, bila ada pergaduhan itu dia melimpah juga ke Thailand, Bangladesh dan juga Malaysia, sebab itu kita harus sentiasa bersedia.

"Jangan guna alasan ini untuk kaut kekayaan secara haram,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS