Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasti hanya ternak 'walaun' PAS, perlu dikaji semula - Faiz
Diterbitkan:  Aug 23, 2025 5:44 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Penggerak NGO Rakan Nasionalis Moderat, Muhammad Faiz Na’aman menggesa kerajaan meneliti semula kedudukan institusi pendidikan dikendalikan PAS seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti), dengan mengatakan ia tidak wajar beroperasi secara langsung di bawah parti politik.

Faiz berkata dia tidak menyangka komen yang dibuat terhadap kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,700 kepada guru Pasti telah mengundang reaksi agresif daripada penyokong pembangkang di media sosial.

"Mereka sekadar tularkan tangkap layar komen saya ini sahaja tanpa memaparkan konteks komen saya tersebut berdasarkan berita/ isu apa.

"Sedarkah mereka jika gaji minimum dilaksanakan oleh pihak Pasti, maka yang dapat manfaatnya ialah kelompok mereka juga?" katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, Muhammad Faiz berkongsikan tangkap layar komennya yang mengundang kritikan daripada penyokong PAS. Komen itu berbunyi:

"Jika Pasti ingkar harap tindakan tegas dapat diambil termasuk menarik lesen dan tutup premis indoktrinasi halus penternakan walaun seawal prasekolah itu. Tak patut wujud pun in the first place".

Untuk rekod, ‘walaun’ adalah gelaran yang diberikan oleh musuh PAS kepada penyokong parti Islam itu.

Sim pada 21 Ogos lalu di Dewan Rakyat berkata perintah gaji minimum RM1,700 turut terpakai kepada guru Pasti dan ia adalah sama seperti yang dikenakan kepada pekerja sektor swasta lain.

Sim berkata sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perintah terbabit ia boleh dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Tak berdaftar secara sah

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, isu berkenaan Pasti bukan sekadar isu kadar elaun yang rendah membabitkan gurunya, malah turut meliputi aduan lain seperti tidak mematuhi aspek silibus dan pengajian.

Tambahnya, aduan yang diterima termasuk daripada guru-guru Pasti sendiri.

Malah katanya, ada laporan menyatakan institusi-institusi pendidikan di bawah PAS juga tidak didaftarkan secara sah sebagai sekolah, taman asuhan kanak-kanak, atau tadika.

“Bagaimana institusi tidak berdaftar boleh dibiarkan beroperasi secara sistematik hampir seluruh negara melibatkan bidang pendidikan? Benarkah demikian?” soalnya.

Bekas ahli majlis tertinggi Bersatu itu mendakwa sekolah-sekolah berkenaan berperanan menanam pengaruh politik secara halus terhadap kanak-kanak yang menerima pendidikan di situ.

"Indoktrinasi itu tidak dibuat secara langsung atau terang-terangan. Tetapi oleh kerana institusi tersebut dikelolakan oleh Parti PAS, maka anak-anak lulusan dari Pasti, SRITI dan SMITI setelah mereka remaja atau dewasa nanti sedikit-sebanyak akan rasa terhutang budi dengan ekosistem yang dibina oleh PAS tersebut. Itu maknanya indoktrinasi cara halus. Tanpa sedar,” katanya.

Faiz berkata pendidikan agama dan awal kanak-kanak sepatutnya diselia, disediakan dan dikawal oleh Kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan negeri dan bukannya dikawal secara langsung oleh parti politik.

"Jadi saya mencadangkan kepada pihak kerajaan sudah tiba masanya status PASTI, SRITI dan SMITI ini dikaji balik kedudukannya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Biar wujudnya penambah-baikan yang perlu bagi menyelaraskan kualiti, piawai, silibus dan sistem pendidikan agar tiada mana-mana pihak yang berkepentingan, tidak kira dari mana-mana parti pun, boleh memanipulasi dan mengeksploitasi pendidikan anak bangsa terutama di peringkat kanak-kanak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS