Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan objektif utama Karnival Sumud Nusantara ialah advokasi, solidariti, dan pendidikan rakyat Malaysia tentang isu Gaza.
Menurutnya, pesta makanan pada karnival itu hanyalah salah satu elemen dalam program yang lebih luas, bertujuan memudahkan pengunjung mendapatkan makanan dan minuman.
Selain tidak menjadi fokus utama karnival berkenaan, keuntungan daripada jualan pesta makanan pula akan disalurkan untuk Gaza.
"Berhubung dengan kritikan terhadap pesta makanan (“Food Fest”) di Karnival Sumud Nusantara yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 22 hingga 24 Ogos, Mapim ingin menekankan beberapa perkara penting.
"Objektif utama karnival adalah advokasi, solidariti, dan pendidikan rakyat Malaysia tentang isu Gaza. Food fest hanyalah salah satu elemen dalam program yang lebih luas, bertujuan memudahkan pengunjung mendapatkan makanan dan minuman ketika menghadiri pameran, persembahan, dan aktiviti interaktif.
"Ia bukan fokus utama program, dan keuntungan peniaga yang diperoleh disalurkan secara sukarela melalui zakat dan infaq kepada Gaza," katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, sebuah NGO menganggap penganjuran pesta makanan tiga hari bertema “solidariti Gaza” di Dataran Merdeka hujung minggu ini sebagai menjijikkan, tidak peka dan menuntut agar penganjur segera memohon maaf serta membatalkannya.
Gerakan Gabungan Anti-Imperialis (Gegar) berkata pesta makanan itu kelihatan sebagai jalan mudah bagi opportunis mengeksploitasi dan meraih keuntungan atas penderitaan rakyat Palestin, walaupun penganjur atau peniaga mungkin tidak berniat demikian.
“Betapa tidak pekanya anda? Sedang kita berbicara, rakyat Palestin sedang kebuluran dalam pembunuhan beramai-ramai; kebanyakan mereka telah sampai ke tahap kebuluran mutlak akibat sekatan haram Israel ke atas Gaza. Ramai telah mati.
“Menurut penganjur, hanya lima peratus hasil jualan akan disalurkan kepada Malaysia Cinta Gaza. Ini bermakna jika keuntungan RM10,000 diperoleh, hanya RM500 diberikan kepada Cinta Gaza.
“RM500 ini hanyalah tahap kutipan yang boleh dilakukan oleh kumpulan kecil atau individu, tanpa perlu mengambil untung daripada kesengsaraan Palestin,” kata kumpulan itu kepada Malaysiakini pada kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mapim berkata pihaknya menghormati pandangan NGO dan individu yang prihatin terhadap penderitaan Gaza, namun menegaskan karnival ini adalah strategi kreatif jangka panjang, bukan eksploitasi atau komersialisasi penderitaan Palestin.
"Setiap elemen diatur untuk menggalakkan kefahaman, mobilisasi sokongan, dan penyertaan rakyat Malaysia dalam solidariti global bagi Gaza," kata kenyataan itu lagi.

Festival makanan “Malaysiaku Bersama Gaza” itu dianjurkan oleh Love Food Festival bersempena Karnival Sumud Nusantara, iaitu karnival tiga hari anjuran Mapim dan Cinta Gaza Malaysia.
Difahamkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi penaung acara ini dan Karnival Sumud Nusantara.
Acara tiga hari dari 22 hingga 24 Ogos itu turut disokong Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa.
