Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail telah memfitnah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Susulan keputusan itu hari ini, Hakim John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar kepada Sanusi ganti rugi am sebanyak RM600,000 dan kos berjumlah RM70,000.
“Mahkamah mendapati bahawa perkataan 'pencuri' memberikan impak jenayah ke atas kenyataan itu. Keseluruhan kenyataan itu bermula dengan imej operasi polis yang berterusan untuk menangkap pelaku kecurian REE.
"Mahkamah mendapati bahawa Kenyataan Marris merujuk kepada plaintif. Maksud memfitnah frasa 'menyalahi semua tatakelola kewangan Kerajaan' dengan jelas mengimputasikan plaintif telah melakukan salah urus kewangan yang, di mana defendan menguatkan perkara itu dengan memetik Ketua Audit Negara dalam kenyataannya," kata hakim.
Mahkamah turut mengarahkan Saifuddin supaya mengemukakan permohonan maaf yang perlu diterbitkan dalam satu akhbar berbahasa Melayu dan satu akhbar berbahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari.
Selain itu, kandungan permohonan maaf tersebut hendaklah dimuat naik di akhbar utama dan perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Muhammad Sanusi.
Mahkamah juga mengekalkan perintah injunksi yang menghalang defendan atau wakilnya daripada mengulangi sebarang kenyataan berkaitan tuduhan mencuri REE dan penyelewengan dana Marris.
Pada 3 Ogos 2023, Muhammad Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin atas dakwaan Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri REE di Kedah serta menyeleweng peruntukan Marris.
Pada pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi menyebut Saifuddin ketika berceramah pada 15 Julai 2023 telah mengeluarkan kenyataan fitnah yang menuduh dia selaku menteri besar dan juga melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) telah mencuri REE di Kampung Chong, Sik, yang kemudiannya mendapat liputan meluas media.
Katanya, Saifuddin juga pada satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 14 Julai 2023, mengeluarkan kenyataan fitnah yang mendakwa dirinya menyalahgunakan dana Marris.
