Peguam kepada Albert Tei, pemberi maklumat dalam kontroversi perlombongan di Sabah, membidas kenyataan seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) sebagai cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti anak guamnya.
Ini susulan kenyataan Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin, yang melabel Tei sebagai “pemberi rasuah terbesar” yang kini cuba melindungi dirinya dengan mendedahkan maklumat tentang orang lain.
Sebagai respons, peguam Mahajoth Singh berkata kenyataan Danish hanya menguatkan persepsi umum bahawa parti itu sedang melindungi golongan berkuasa sambil menyasarkan mereka yang bercakap benar.
Dua hari lalu, Tei mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menolak bukti yang dikemukakannya terhadap enam Adun Sabah dan menganggapnya sekadar khabar angin.
Usahawan itu turut menafikan dakwaan Anwar bahawa hanya rakaman video diserahkan kepada SPRM, sebaliknya menegaskan dia telah menyerahkan satu dokumen setebal lebih 300 muka surat untuk menyokong tuduhannya.
Dalam usaha mempertahankan Anwar, Danish menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Tei, dengan menuduhnya cuba mengelak hukuman dengan berselindung di sebalik status sebagai pemberi maklumat.

Danish turut menegaskan bahawa Anwar dan kerajaan Madani perlu konsisten dalam menegakkan keadilan serta ketelusan, sambil menekankan bahawa tiada sesiapa – termasuk ahli politik, penjawat awam atau taikun – berada di atas undang-undang.
‘Baca berita’
Mengulas balik kenyataan Danish, Mahajoth menjelaskan bahawa Tei telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dan memilih untuk dibicarakan bagi mempertahankan dirinya.
“Tei telah mohon dibicarakan dan sedang mempertahankan diri mengikut undang-undang.
“Hanya mereka yang tidak membaca berita, atau tidak memahaminya, akan berkata sebaliknya.
“Sebelum mengeluarkan kenyataan melulu, Danish sepatutnya semak fakta dahulu,” katanya.

Mahajoth turut mendesak Danish menjelaskan mengapa PKR terus melindungi enam Adun yang terlibat, sambil menyerang individu yang mendedahkan salah laku.
Menurutnya, sebelum diumumkan bahawa PH dan Gabungan Rakyat Sabah akan bergabung menghadapi pilihan raya negeri akan datang, meskipun beberapa ADUN daripada gabungan itu dikaitkan dengan skandal tersebut.
“Maka saya ingin bertanya kepada kamu, Danish. Jika parti kamu benar-benar percaya kepada integriti, mengapa masih melindungi enam Adun yang terlibat, sambil menyerang individu yang membongkar kesalahan mereka?
“Selagi kamu tidak mampu menjawab persoalan itu, kata-kata kamu tidak lebih daripada bunyi anjing politik yang menyalak kepada pemberi maklumat, sambil mengibaskan ekor kepada golongan korup," katanya.
